Sunday 16 April 2023

Keberkatan Dalam Gaji

 

Sumber: Photo by micheile henderson on Unsplash

Sebenarnya rasa geram dan tak puas hati bila lihat orang gaji yang lebih daripada kita, tapi kita yang perlu buat kerja bagai nak mati. Dia relaks dan tenang tanpa jawatan dan bebanan yang berat. Alasannya sudah tua, tidak reti komputer, berkeluarga dan pelbagai alasan lagi. 

Dalam dunia KAFA, memang ada yang gaji RM2000 ke atas dan yang KAFA biasa hanya RM880. Setiap negeri berbeza bab bayaran dan hari bekerja. Kalau dilihat bebanan kerja sama saja seperti sekolah pagi, tugas mendidik anak-anak tentang akhirat, dokumentasi dan kerja kerani yang tak sudah, pelik betul kenapa susah sangat untuk gaji kami naik. Ups, bukan gaji ye, hanya elaun. 

Jika kita bangkitkan isu, mesti kata, "Bersyukurlah apa yang ada. Jika rasa tak mampu bekerja dengan ikhlas lagi, silakan berhenti. Cari kerja lain. Ramai lagi yang nak kerja."

Sepatutnya bila golongan guru yang bekerja di bawah menyuarakan isi hati atau masalah, pleaselah dengar dan empati. Bukan terus menuding dan beri ancaman. 

Bayangkan dengan gaji paras SPM, budak lepasan SPM kerja kilang pun dapat lagi banyak tau. Kerjaya mulia kot. Kenapalah susah sangat mahu beri yang terbaik untuk kami. 

Disebabkan suara tak didengari, bonus yang tidak adil sebab ikut gaji, dan bebanan yang banyak untuk guru muda inilah buat ramai kecewa dan penat. Ramai yang nak putus asa mendidik. 

Bayangkan bonus separuh gaji. Siapa gaji besar 2000, akan dapat 1000. Siapa gaji macam kami, hanya dapat separuh saja. Macam kapitalis kan. Orang yang kaya akan semakin kaya, yang macam kami teruslah tertindas. Fuh. 

Guru lama yang sudah bergaji 2 ribu ke 3 ribu, tenang saja tanpa buat kerja pengkeranian yang memenatkan dan tiada jawatan. Siap dapat anugerah perkhidmatan cemerlang 2 ke 3 kali lagi. Cemerlang apanya. Datang lambat, dalam kelas tidak mengajar, tugas hakiki tak dibuat sebaiknya. 

Sejak tu memang saya tak pernah percaya dengan anugerah cemerlang semua ni. Orang dalam semata. Tak adil dan tak layak. 

Bila guru muda mengadu dikatakan mengeluh, merungut dan tak ikhlas. Tapi mereka tak cuba duduk dalam kasut kita. Orang atasan jabatan atau pihak sekolah tolonglah belajar untuk empati. Jangan terlalu kering dengan arahan demi arahan. Belajar untuk memahami dan menyelami. 

Ingat ya, dalam gaji kita ada keberkatan. Jika dapat gaji besar sekalipun, tetapi usaha kita tidak selayaknya, berhati-hatilah. Risau makan minum kita dengan duit tak berkat. Jika kita jadi ketua atau pemimpin, sesekali lihatlah orang bawahan. Gembira atau tidak mereka kerja di bawah anda. Anda akan disoal kelak. Risau bahu berat sebelah sebab tidak adil dalam menyempurnakan amanah. 

Tuesday 18 October 2022

Curhat Dengan Anak Murid Tentang Couple

 "Ustazah nak buat permintaan boleh?"


Ini ayat keramat semalam yang buat suasana perbualan kami hiba. 


Semalam petang cakap dari hati ke hati dengan seorang anak tahun enam lelaki. Anak yang sama yang dapat Kit Kat sebab dapat hafal doa qunut. Dia ada kes kapel dan bermesej dengan orang perempuan. Dan yang perempuan tu agak nakal sedikit. Fana tak suka sangat. 




Habis semua cerita anak ini luah petang semalam. Anak yang semakin meningkat remaja begitulah lumrahnya. Masih mencari hala tuju hidup dan belum ada pendirian tersendiri. Bercinta tu apa pun dia tak faham sebenarnya. 

Habis kami curhat, 


"Ustazah nak buat permintaan boleh?"


Anak ini pandang Fana. "Boleh."


"Lepas ni awak takyah lah kapel dengan dia lagi. Awak pun bukan suka dia pun kan." 


Dia mengangguk. "Apa yang awak rasa awak boleh buat lepas ni?"


Dia diam beberapa saat sambil tunduk ke bawah bangunan sekolah. 


"Lepas ni kalau dia mesej saya takyah balas lah. Lagipun dia mesej saya pun waktu dia bosan saja." 


Fana senyum. Polos sungguh anak ini. Anak Kit Kat dan doa qunut daku yang disayangi.  

Ingatkan bila kena tegur, dia akan mengelak daripada bertembung mata dan bercakap dengan Fana. Mana tahu terasa hati ke kan. 


Rupanya bila waktu akhir masuk kelas dia ajar tajwid, nampak bersemangat dan bersungguh cari kalimah dalam Quran. Jawab soalan pun beria gamaknya. Alhamdulillah Allah mudahkan bicara tanpa anak ini berkecil hati atau menjauhkan diri. 


Terima kasih Allah ya Latif 🌹


Ada beberapa anak lagi dalam susunan untuk dikorek isi hati. Selain jadi mak guard jaga pagar di sekolah, ustajah pun jadi kaunselor dan mak tiri tak bertauliah ye huhu. Moga jadi saham di 'alam sana'. 

Ego & Rasa Diri Sudah Bagus

 Suatu hari, Omer lalu di hadapan kedai roti Somuncu Baba. Mukanya ketat dengan mata tidak berkelip. Hala anak matanya satu arah saja sambil berkerut dahinya. Besar langkah kakinya. Omer seorang anak muda yang bekerja sebagai pembuat pisau di salah sebuah kedai pisau buatan tangan di kota Enguru atau  dikenali kini sebagai Ankara. 


“ Wahai Omer. Mari masuk,” panggil Somuncu Baba. 


Macam biasa Somuncu Baba angkat bangku dan duduk. Omer pun ikut sama. Mereka duduk berhadapan. Raut wajah Omer masih merah padam. Rupanya Omer sedang marah lagi kesal. 


“Tuanku seakan tidak mengiktiraf hasil kerjaku. Aku sudah mahir buat pisau dan ramai pelanggan memuji hasil kerjaku. Akan tetapi tuanku tidak menyebut aku sebagai pembuatnya. Padahal aku telah bekerja keras untuk menghasilkan pisau yang terbaik.” 

Tuanku merujuk kepada pemilik kedai yang Omer bekerja ya. 

Dengan tenang dan senyuman, Somuncu Baba menuturkan secebis nasihat dan kisah. Somuncu Baba kata, "Rasa diri sudah bagus akan menjadikan seseorang manusia itu buta. Ego juga akan jadi sebab kita gugur dan tercicir dari jalan yang benar ini."




Jalan menuju Allah adalah suatu jalan yang panjang. Jalan menuntut ilmu juga terlalu lama dan jauh. Ego dan rasa diri sudah bagus antara penyakit yang akan menyebabkan kita tercicir.  Kita akan rasa kita sudah pakar dan mencukupi dengan apa yang kita punya. 


Tetaplah berlapang dada, sabar dan rendah diri dengan kelebihan yang Allah kurniakan kepada kita. Sama ada dari segi kekayaaan, kesenangan hidup, tingginya ilmu, perkahwinan yang indah, anak yang ramai, kerjaya yang lumayan dan pelbagai cabang lagi yang membuatkan kita rasa yang kita paling bagus dan terbaik. Kekalkan tunduk dalam memperjuangkan kehidupan kita. Allah tempat kita berserah dan berharap.


Farhana Zali

Belajar Daripada Somuncu Baba. 


#bacafikirtulis #suriummah

Tuesday 11 October 2022

Tegur Cara Nabi

 


Belajar menegur seperti Nabi Muhammad SAW. Kita sebagai ketua, ibu, guru dan dalam berhubungan dengan manusia, kadang-kadang ingin menegur sesuatu perkara tetapi kita rasa takut. Ada orang pula ambil pendekatan, “berkatalah pahit walaupun benar.” Tegur saja tanpa ambil peduli kesannya. 





Bila Fana baca buku Puan Ainon Mohd; “Teknik Mendorong Perubahan Tingkah Laku”, baru Fana sedar memang aktiviti menegur ni ada kesan sosial yang besar. Hubungan akan jadi tidak baik selepas ditegur. Siapa tidak terasa hati kan bila orang lain tegur kita. 

Lately, Fana tengah cari jalan yang terbaik untuk tegur anak murid yang bercinta dan mula buat tanda lucah guna tangan. Memang berfikir apa cara terbaik supaya anak yang terbabit berjaya ditegur dengan baik tanpa merosakkan hubungan dan mahu rakan sekelas dapat pengajaran juga. 

Alhamdulillah pagi ini dapat jawapan dan idea! 

Ibrah diambil dari hadis berkaitan hobi para sahabat melepak di jalanan. Fana letak potongan hadis di ruang komen ya. 


Rujukan: Teknik Mendorong Perubahan Tingkah Laku oleh Puan Ainon Mohd. 


#bacafikirtulis #suriummah


Thursday 6 October 2022

Individu & Masyarakat Seiring Sejalan

 



Secara jujur bila baca mukaddimah buku ini, sudah buat Fana termenung lama. Kita selalu dibicarakan bahawa, kita perlu ubah diri kita dahulu, barulah masyarakat akan berubah. 

Turutannya begini:

Individu - Masyarakat

Rupa-rupanya, Syeikh mengatakan yang dua unsur ini saling berkait. Peribadi individu yang soleh akan mudah tumbuh dalam suasana masyarakat yang soleh juga. Bukan solehkan dahulu individu SAHAJA, malah dalam masa yang sama kita perlu wujudkan circle atau persekitaran yang soleh juga. 

Kenapa anak-anak kita tidak solat dan melepak dengan kawan main game sambil merokok sampai larut malam?

Sebab kita tiada suasana masyarakat yang saling tegur-menegur dan prihatin. Ibu bapa tidak endah, kejiranan juga. Maksudnya persekitaran masyarakat tidak membantu perkembangan kesolehan anak-anak kita. Bukan salah anak-anak, namun silap persekitaran yang tidak kondusif untuk perubahan. 

“Masyarakat jadi tapak semaian dan individu jadi benihnya.”

Subur tanah dan tapak semaian, insha Allah berkembang subur pokok peribadi-peribadi orang Islam.

***
11 Ciri Unggul Masyarakat Islam yang Diidamkan ialah:
Akidah & Keimanan
Syiar & Ibadat
Pemikiran & Pemahaman
Perasaan & Emosi
Akhlak & Kesopanan
Adab & Budaya
Nilai-nilai Kemanusiaan
Pensyariatan & Perundangan
Ekonomi & Harta
Hiburan & Keseniaan
Wanita Dalam Islam

***
Sejak jadi cikgu untuk sebuah sekolah dan sebuah pusat komuniti, Fana banyak belajar suasana dan pendidikan bagaimana yang Fana perlu hidangkan untuk anak-anak. Walaupun belum ada anak sendiri, usaha tersebut perlu dijalankan supaya cita-cita besar kita mahu Islam memimpin dunia tercapai. Anak orang kan anak kita juga kan kan hehehe. 

Mari kita jadi tapak semaian yang bagus untuk generasi anak-anak membesar! Bukan mencari tapak semaian yang bagus ya, kita yang jadi tapak semaian bagus itu. 

#bacafikirtulis  #suriummah

Monday 28 March 2022

Murtadkan Anak? Peranan Kita?

Masa terbaca dialog antara Rasulullah saw bersama Utbah bin Rabi'ah antara pemimpin Quraisy dalam buku Raheeq Makhtum, teringat dengan kes Loh, ibu Hindu yang mahu murtadkan anak-anaknya yang sudah bahagia hidup dengan Islam. 





Selepas Saidina Hamzah, bapa saudara Baginda masuk Islam, para pemimpin Quraisy makin tak senang duduk. Sebab pengIslaman tu memang bawa tamparan besar. Saidina Hamzah bukan calang-calang orang ya. Influencer tika itu.  


Utbah bin Rabi'ah berjumpa dengan Rasulullah saw untuk menawarkan beberapa cadangan dan cari titik persamaan. Mudahan Baginda terima dan penduduk Mekah yang kafir tidak 'diselar' Baginda lagi. 

Antara isi pembicaraan Utbah adalah mahu angkat Baginda jadi pemimpin tanpa persoalkan apa sahaja, jika Nabi buat dakwah semua itu sebab nak jawatan. 


Utbah juga tawarkan harta yang melimpah jika Nabi berdakwah semua itu untuk kekayaan sebenarnya. 

"Adakah sudah selesai penyampaianmu wahai Abu al-Walid?"


Kemudia Baginda membacakan ayat 1 hingga 5 surah Fussilat dan sehingga ayat sajadah. Sampai Utbah pun secara automatik tersujud masa dengar ayat itu. Terpukau dengan kemukjizatan Al-Quran.


Terus Utbah pulang dan berkata kepada kaumnya, "Berilah laluan kepadanya dengan apa yang dibawanya itu ...."

Lihat saja cara Rasulullah saw menangani isu akidah. Walaupun isu ini sangat besar hingga memecahkan hubungan orang Arab tatkala itu. 


Akidah tetap akidah. Isu pokok yang tiada kompromi untuk dipertahankan. 

Jika ada pemimpin Islam yang suruh jaga hubungan berlainan agama, hormati agama lain dan kaum lain, something wrong rasanya tu. Apalagi jika suruh kita mengalah, amatlah buruk perangai pemimpin begitu. Terlalu lama orang Islam kita ni berlembut dengan semua perkara. 


Bagaimana mungkin kita senang-senang saja biarkan permata Islam kita dimurtadkan. Anak-anak itu pejuang agama. 


Selagi boleh lawan dan pertahan, kita usaha hingga titisan darah terakhir. Moga Allah swt bantu perjuangan para pejuang kes. Kejayaan besar buat Islam insya Allah. Banyakkan doa ya kalian!


Farhana Zali

Masih Membaca Ceghita Kes Ini.

Tuesday 2 November 2021

Novel Sherlock Holmes & Sultan Abdul Hamid ii

 


Novel Sherlock Holmes yang Fana baru beli tu sudah habis dibaca dalam masa satu hari saja. Rasanya ini pertama kali Fana baca novel tak bosan. Sebab Fana bukan peminat novel.

Biasanya akan baca awal, selak sikit-sikit dan terus ke bahagian akhir hahaha. Ayat-ayat angin-angin sepoi bahasa, burung berkicauan tu biasanya akan kulompat saja. Maafkan saya ya.

Okay, bila baca tajuk pertama dalam siri ke-16 novel bersiri ini, baru perasan kenapa Sultan Abdul Hamid ii suka sangat baca novel Sir Arthur Conan Doyle ni.

Ingat lagi dalam siri Payitaht memang ada satu episod tu, penulis tersohor ni datang Turki. Macam penulis sekarang buat tour dan fan signing mungkin. Teruja lah sultan bila tahu. Penulis kegemaran datang.

Kalau uolls nak tahu, biasanya novel ni sultan tak baca sendiri pun, tapi Tahsin Pasha yang tolong bacakan. Kekadang tu belum baca ayat seterusnya lagi, sultan dah tahu apa ceritanya. Memang sejenis manusia genius kan.

Eh, sebenarnya Fana nak cerita rahsia yang baru terungkap ni 😊

Tajuk pertama, 'Misteri Klien yang Masyhur’ ini ada babak yang Sherlock Holmes buat helah seakan-akan dia sakit nak mati. Ceritanya lebih kurang begini. Orang jahat pukul beliau dan beliau tercedera sampai perlu dibalut kepalanya. Hanya balut kepala dan luka tau.

Tetapi yang ditulis dalam surat khabar, dia punya kecederaan teruk hingga boleh bawa kepada mati. Sebab penyiasat hebat ni tak keluar rumah langsung. Hasilnya apa?

Orang jahat itu pun sudah selesa dan tidak berjaga-jaga kerana musuh ketat (Sherlock Holmes) sudah sakit tidak akan kacau perancangan mereka lagi.

Ohhhh maii. Sebenarnya dalam tempoh itu Sherlock Holmes susun strategi gais. Bijak betul kan? Habis tu? Penjahat kena tangkap ke? Eh, mana boleh cerita. Fana bagi spoiler ciked saja lah hihi.

Okay balik kepada sultan tadi. Selepas habis tajuk pertama ni, terus Fana teringat ada episod dalam Payitaht yang sultan buat helah gembar-gembur kata Tahsin Pasha meninggal dunia kalau tak silap. Tak ingat pula detail cerita, sebab episod terlalu banyak dan setahun lalu Fana tinggalkan cerita tu.

Tahsin Pasha ni orang kanan sultan tau. Semua rahsia beliau pegang. Rahsia sultan, rahsia pemerintahan Islam dan semua strategi lah. Cuba bayangkan kalau beliau meninggal, sudah tentu sultan akan down dan kerajaan mula musnah sedikit demi sedikit. Tulang belakang penyokong tegar pemimpin sudah tiada.

Bila dengar khabar Tahsin meninggal/sakit teruk, musuh memang bersorak riang. Nak dipendekkan cerita, satu hari tu musuh datang menghadap sultan dengan bawa agenda yahudi kafirun mereka lah. Sekali tetiba Tahsin Pasha masuk dalam ruangan mereka. Maka terkejut beruk lah musuh Islam itu. Perancangan mereka musnah. Hancusss gais.

Kena game dengan sultan yang bijak rupanya.

Okay nampak tak persamaan dengan novel? Hehe maknanya sultan baca dan tiruvasi novel dalam strategi politik baginda. Bukan baca ikut plot cerita bagai angin lalu saja.

Begitulah uolls. Kita ni kalau baca atau tonton sesuatu mesti dengan hati dan korek apa yang kita boleh ambil pengajaran lalu amalkan. Barulah ilmu itu akan bermanfaat. Tak gitu.

Saturday 30 October 2021

Bagaimana Rasulullah Akan Kenal Kita di Akhirat?

 


Pagi tadi masa bersauna, Fana sesambil lah dengar ceramah Ustaz Wadi Annuar di Youtube. Rasa panas makin membahang khemah sauna bila berdas-das muhasabah menusuk jiwa.

Tajuk ceramah tu; ‘Di Mana Rasulullah Dalam Kehidupanku?’ Cantik sungguh studio ustaz. Latar belakang emerald green yang ekslusif.

Daripada beberapa minit ceramah yang sempat Fana dengar, ada 7 perkara yang Fana belajar tadi pagi:

1.        Allah swt tidak akan persoalkan dosa pahala kepada spesifik mana-mana bangsa dan kaum. Semua sama sahaja.

2.      Syukur Allah swt pilih kita jadi umat Nabi Muhammad saw. Bukan Yahudi atau Nasrani apatah lagi ateis.

3.       Para sahabat Rasulullah adalah sahabat dan pendamping Rasulullah saw. Kita pula adalah kekasih baginda. Walaupun kita tidak pernah melihat baginda, kita  beriman kepada baginda. Itu level tinggi sebab tak pernah jumpa tapi mencintai dan beriman. Insya Allah.

4.      Kita patut rasa bersalah dan berdosa jika kita tanya siapa nama Nabi Muhammad kepada anak-anak kita, mereka tidak tahu.

5.      Anggota wuduk kita akan bercahaya ketika di Padang Mahsyar. Itu tanda yang buat Nabi Muhammad akan mengenali umat baginda iaitu kita.

6.      Jika kita tidak solat, jadi kita tidak berwuduk. Maka berhati-hatilah, takut-takut Rasulullah saw tidak mengenali kita nanti di saat kita menunggu syafaat baginda.

7.      Kita akan dibangkitkan di hari akhirat bersama kelompok yang kita cintai semasa hidup di dunia. Nampaknya kita perlu semak semula circle kita bagaimana akhlak mereka dan aktiviti yang jadi kegemaran kita ni sobsss.

Begitulah. Benda ghaib seperti hari akhirat, syurga neraka, dosa pahala dan Padang Mahsyar kadang-kadang sukar untuk kita faham dan ‘telan’. Teruskanlah belajar, menuntut ilmu agar iman kita tidak terhakis dek penipuan dunia yang fana’ ini.

 

Farhana Zali

Buang Netflix, Kembali Kepada Kayifamily.

Darah Pekat & Merah Itu Haid?

"Sis, darah merah pekat kalau keluar, tidak semestinya itu darah haid tau."



Betul sungguh apa yang sistur atas ini kata. Bila kita nampak ada darah merah pekat atau hitam likat keluar, kita bukan mudah-mudah saja boleh kata darah itu adalah darah haid.

Ada beberapa soalan perlu ditanya sebelum mahu pastikan darah itu darah apa. Darah haid ka, darah istihadah ka atau darah rosak ka. Kahkahkah. Okay ini gurau.

Jika kita ambil kes perempuan yang sudah ada adat kebiasaan haid atau mu'tadah, kita tanyakan satu soalan ini kepadanya bila dia tengah keliru tentang darahnya itu.

🗣Bila awak mandi wajib dan berapa hari bulan awak mula suci?

Ini untuk kita tengok tempoh suci dia cukup atau tidak 15 hari 15 malam. Kalau cukup okay, boleh haid baru. Kalau tak cukup, perlu sempurnakan baki suci hingga 15 hari dahulu, baru boleh haid semula.

Seterusnya, sistur tu perlu catat segala aktiviti darahnya. Jam darah keluar, warna apa, bila perubahan warna dan kering jam berapa. Jangan pula dia buat tak tahu saja dengan apa yang berlaku. Go with flow katanya huhu.

Jika cukup semua darah yang keluar itu 24 jam, dia dikira haid. Jika darahnya terlalu sedikit dan tidak cukup 24 jam, kita kira darah dia darah rosak atau darah fasad. Status sama seperti darah istihadah juga lah.

Kalau ada tinggal solat atau puasa, perlu diganti semula ya.

Okay ke semua tu? Ingat tau soalan cepumas tadi bila nampak darah kita keluar. Janji?

Salam Jumaat yang penuh berkat 🧕

#belajardarahwanita

Keberkatan Dalam Gaji

  Sumber: Photo by micheile henderson on Unsplash Sebenarnya rasa geram dan tak puas hati bila lihat orang gaji yang lebih daripada kita, t...