Showing posts with label Ibrah. Show all posts
Showing posts with label Ibrah. Show all posts

Tuesday, 2 November 2021

Novel Sherlock Holmes & Sultan Abdul Hamid ii

 


Novel Sherlock Holmes yang Fana baru beli tu sudah habis dibaca dalam masa satu hari saja. Rasanya ini pertama kali Fana baca novel tak bosan. Sebab Fana bukan peminat novel.

Biasanya akan baca awal, selak sikit-sikit dan terus ke bahagian akhir hahaha. Ayat-ayat angin-angin sepoi bahasa, burung berkicauan tu biasanya akan kulompat saja. Maafkan saya ya.

Okay, bila baca tajuk pertama dalam siri ke-16 novel bersiri ini, baru perasan kenapa Sultan Abdul Hamid ii suka sangat baca novel Sir Arthur Conan Doyle ni.

Ingat lagi dalam siri Payitaht memang ada satu episod tu, penulis tersohor ni datang Turki. Macam penulis sekarang buat tour dan fan signing mungkin. Teruja lah sultan bila tahu. Penulis kegemaran datang.

Kalau uolls nak tahu, biasanya novel ni sultan tak baca sendiri pun, tapi Tahsin Pasha yang tolong bacakan. Kekadang tu belum baca ayat seterusnya lagi, sultan dah tahu apa ceritanya. Memang sejenis manusia genius kan.

Eh, sebenarnya Fana nak cerita rahsia yang baru terungkap ni 😊

Tajuk pertama, 'Misteri Klien yang Masyhur’ ini ada babak yang Sherlock Holmes buat helah seakan-akan dia sakit nak mati. Ceritanya lebih kurang begini. Orang jahat pukul beliau dan beliau tercedera sampai perlu dibalut kepalanya. Hanya balut kepala dan luka tau.

Tetapi yang ditulis dalam surat khabar, dia punya kecederaan teruk hingga boleh bawa kepada mati. Sebab penyiasat hebat ni tak keluar rumah langsung. Hasilnya apa?

Orang jahat itu pun sudah selesa dan tidak berjaga-jaga kerana musuh ketat (Sherlock Holmes) sudah sakit tidak akan kacau perancangan mereka lagi.

Ohhhh maii. Sebenarnya dalam tempoh itu Sherlock Holmes susun strategi gais. Bijak betul kan? Habis tu? Penjahat kena tangkap ke? Eh, mana boleh cerita. Fana bagi spoiler ciked saja lah hihi.

Okay balik kepada sultan tadi. Selepas habis tajuk pertama ni, terus Fana teringat ada episod dalam Payitaht yang sultan buat helah gembar-gembur kata Tahsin Pasha meninggal dunia kalau tak silap. Tak ingat pula detail cerita, sebab episod terlalu banyak dan setahun lalu Fana tinggalkan cerita tu.

Tahsin Pasha ni orang kanan sultan tau. Semua rahsia beliau pegang. Rahsia sultan, rahsia pemerintahan Islam dan semua strategi lah. Cuba bayangkan kalau beliau meninggal, sudah tentu sultan akan down dan kerajaan mula musnah sedikit demi sedikit. Tulang belakang penyokong tegar pemimpin sudah tiada.

Bila dengar khabar Tahsin meninggal/sakit teruk, musuh memang bersorak riang. Nak dipendekkan cerita, satu hari tu musuh datang menghadap sultan dengan bawa agenda yahudi kafirun mereka lah. Sekali tetiba Tahsin Pasha masuk dalam ruangan mereka. Maka terkejut beruk lah musuh Islam itu. Perancangan mereka musnah. Hancusss gais.

Kena game dengan sultan yang bijak rupanya.

Okay nampak tak persamaan dengan novel? Hehe maknanya sultan baca dan tiruvasi novel dalam strategi politik baginda. Bukan baca ikut plot cerita bagai angin lalu saja.

Begitulah uolls. Kita ni kalau baca atau tonton sesuatu mesti dengan hati dan korek apa yang kita boleh ambil pengajaran lalu amalkan. Barulah ilmu itu akan bermanfaat. Tak gitu.

Saturday, 30 October 2021

Bagaimana Rasulullah Akan Kenal Kita di Akhirat?

 


Pagi tadi masa bersauna, Fana sesambil lah dengar ceramah Ustaz Wadi Annuar di Youtube. Rasa panas makin membahang khemah sauna bila berdas-das muhasabah menusuk jiwa.

Tajuk ceramah tu; ‘Di Mana Rasulullah Dalam Kehidupanku?’ Cantik sungguh studio ustaz. Latar belakang emerald green yang ekslusif.

Daripada beberapa minit ceramah yang sempat Fana dengar, ada 7 perkara yang Fana belajar tadi pagi:

1.        Allah swt tidak akan persoalkan dosa pahala kepada spesifik mana-mana bangsa dan kaum. Semua sama sahaja.

2.      Syukur Allah swt pilih kita jadi umat Nabi Muhammad saw. Bukan Yahudi atau Nasrani apatah lagi ateis.

3.       Para sahabat Rasulullah adalah sahabat dan pendamping Rasulullah saw. Kita pula adalah kekasih baginda. Walaupun kita tidak pernah melihat baginda, kita  beriman kepada baginda. Itu level tinggi sebab tak pernah jumpa tapi mencintai dan beriman. Insya Allah.

4.      Kita patut rasa bersalah dan berdosa jika kita tanya siapa nama Nabi Muhammad kepada anak-anak kita, mereka tidak tahu.

5.      Anggota wuduk kita akan bercahaya ketika di Padang Mahsyar. Itu tanda yang buat Nabi Muhammad akan mengenali umat baginda iaitu kita.

6.      Jika kita tidak solat, jadi kita tidak berwuduk. Maka berhati-hatilah, takut-takut Rasulullah saw tidak mengenali kita nanti di saat kita menunggu syafaat baginda.

7.      Kita akan dibangkitkan di hari akhirat bersama kelompok yang kita cintai semasa hidup di dunia. Nampaknya kita perlu semak semula circle kita bagaimana akhlak mereka dan aktiviti yang jadi kegemaran kita ni sobsss.

Begitulah. Benda ghaib seperti hari akhirat, syurga neraka, dosa pahala dan Padang Mahsyar kadang-kadang sukar untuk kita faham dan ‘telan’. Teruskanlah belajar, menuntut ilmu agar iman kita tidak terhakis dek penipuan dunia yang fana’ ini.

 

Farhana Zali

Buang Netflix, Kembali Kepada Kayifamily.

Sunday, 24 October 2021

Tumbangkan Pemimpin Itu!

 

"Mari tumbangkan pemimpin itu!"

Bersih adalah demonstrasi paling jijik dalam misi tumbangkan pemimpin


Fana pernah terbaca satu hadis dalam buku 70 Hadis Perjuangan karya Dr Hisyam Sakr. Agak menarik dan kena dengan situasi sekarang.

Rasulullah SAW ada bersabda, "Tidak! Selagi mereka mendirikan solat bersama kalian."

2 kali baginda ulang jawapan ini, selepas para sahabat bertanya tentang boleh ke tumbangkan pemimpin  yang zalim.

Kita kalau ikut logik manusia yang terbatas dan penuh semangat waja ni, kalau ada pemimpin yang kita rasa dia tidak berkaliber, ada buat kesalahan atau dosa, korupsi dan sebagainya, solusi kita mestilah tumbangkan saja kerajaan pemimpin itu.

Macam Melaka lah sekarang.

Aduhai, negeri tanah tumpah darahku!

Sedih melihat engkau berduka lara dengan isi perutmu.

Sungguh rakus mereka itu.

Rasulullah SAW tidak menyuruh kita untuk tumbangkan pemimpin itu, bahkan baginda suruh kita untuk membenci maksiat yang pemimpin itu lakukan dan lakukan amar makruf nahi mungkar.

Apa maksudnya?

Tegur pemimpin itu. Bukan terus buat demonstrasi tumbangkan pemimpin dan kerajaan.

Dia terima atau tidak nasihat itu bukan urusan kita. Kerja kita hanya benci perbuatannya dan berdakwah kepadanya. Bukan diamkan dan ikut membabi buta ya. Macam kita bersekongkol pula dengan maksiatnya.

Semua pemimpin yang zalim ke kita tak boleh tumbangkan? Oh, ada syaratnya ya.

Syarat 1: Nampak perkataan 'solat' dalam jawapan Rasulullah SAW tadi?

Maksudnya selagi pemimpin itu melaksanakan syariat dalam pemerintahannya. Bukan dia sendiri saja yang bersolat, tapi dia tegakkan syiar Islam dalam negara.

Syarat 2: Maksiat yang dia buat adalah maksiat peribadi.

Kalau terangan pemimpin itu suruh wanita Malaysia haram pakai tudung, tidak boleh solat dan arak wajib di jual di semua kedai runcit, ini tidak termasuk syarat pertama ya.

Mohon baca syarat di atas betul-betul tau. Sebab nanti awak salah faham kalau tidak faham isi hadis. Mulalah terus tulis komen yang tak puas hati bagai 😅

Bukan semua pemimpin kita layan begini. Pemimpin yang ada 2 syarat itu sahaja. Selain itu? Tiada dalam hadis. Fana kena belajar lebih lagi.

Kalau kita mati ketika berdakwah kepada pemimpin zalim itu, insya Allah syahid menunggu kita.

Nota kaki: Hanya niat berkongsi. Walaupun tajuk ini agak berat dan sensasi.

Yahudi dan Larangan Masuk Palestin



Bila ada panggilan perang saraf media sosial macam Is ra el koyak hari tu atau bantuan untuk mana-mana misi atau projek, bila hati kita terpanggil untuk sahut seruan, rasa syukur sangat. Maksudnya hati kita masih bersama iman dan ukhuwwah Islam

Lihat saja perangai kaum Yahudi zaman Nabi Musa seperti dalam gambar. Punyalah teruk.

"Tanah Palestin tanah yang dijanjikan untuk kami."

Slogan mereka begitu lah sampai sekarang. Itu janji Allah SWT jika mereka beriman kepada Allah dan rasul. Ini tidak. Nabi Musa ajak masuk Palestin berperang, begitu menyedihkan jawapan mereka.

"Pergilah engkau bersama Tuhanmu dan kami menanti saja di sini." 

Jangan jadi macam Yahudi ni. Suka mendustakan Rasul dan tak taat kepada Allah SWT dan para rasul. Nak macam-macam keistimewaan, tapi bila suruh berkorban memang idok ler deme nak berkorban. Suruh berperang pun memang tidak mahu. 

Bacul kata orang. 

Kesannya mereka tak boleh masuk tanah suci al-Quds selama 40 tahun. Lihat dalam gambar di atas. 



Friday, 15 October 2021

Hadith Pasca Nabi SAW Didatangi Jibril AS

 

Fana rasa ini macam kali pertama Fana baca hadis Rasulullah SAW menggigil selepas jumpa dengan malaikat Jibril secara keseluruhannya matan dan maksudnya. Sebelum ini banyak baca secara kisah dan dengar pun dalam bentuk penceritaan sirah.

Gua Hira jadi saksi peristiwa agung 


Panjang hadis ini rupanya. Macam hadis iman, Islam dan ehsan. Hadis ini dibahagikan kepada 2 suasana: semasa Rasulullah SAW sampai di rumah dalam keadaan menggigil dan ketika mereka berjumpa dengan Waraqal bin Naufal.





Kisahnya semua orang sudah maklumkan, Rasulullah SAW minta Saidatina Khadijah menyelimutkan baginda kerana ketakutan selepas jumpa Jibril. Apa ibrah yang kita boleh ambil melalui suasana yang pertama ini?

1) Isteri antara tempat paling tenang buat suami dan tempat suami cari sumber kekuatan dalam penerusan dakwah.

2) Isteri jadi pembakar semangat dan jadi penyumbang idea bila ada masalah.

Okay nak ulas lanjut bab suami isteri ini pun tak berpengalaman lagi. Kita pergi ke situasi yang kedua jom.

Kisah diteruskan dengan perjumpaan Rasulullah SAW dengan sepupu Saidatina Khadijah, Waraqah bin Naufal. Apa ibrah di sini?

Buat pengetahuan uolls, Waraqah ni seorang penganut agama Nasrani ya. Beliau ni menulis kitab Injil dalam bahasa Arab. Hebat kan.

1) Kita ni kalau nak minta pendapat mesti cari orang yang berilmu dan berpengalaman. Bukan cari yang popular dan ramai follower (okay ni Fana tambah sendiri huhu).

2) Aktiviti beruzlah atau menyendiri sangat penting untuk gain semula semangat dan motivasi diri. Ala-ala macam muhasabah lah. Tapi dating dengan Allah SWT.

3) Kewajipan bagi kita bantu orang yang berdakwah. Sebab Waraqah ada kata, "Kalaulah aku hidup masa kaummu menghalaumu, nescaya aku membantumu." Walaupun dia beragama lain.

4) Sunnatullah jalan dakwah dan buat kebaikan ni pahit. Pasti akan dituduh penipu, diseksa dan dihalau seperti Nabi sebelum ini. Waraqah pun kata begitu dengan Rasulullah SAW.

Okay, bestkan hadis ni. Moga bermanfaat ya!

Thursday, 23 September 2021

Siri Ibrah Perang Uhud #4


 

Jom kita sambung lagi siri ibrah Perang Uhud pagi ni. Semalam ada sahabat tanya Fana bila nak sambung, terus Fana taip malam tadi juga 😊

Antara soalan yang kita selalu tertanya bila tahu kisah Perang Uhud ni, kenapa  Allah SWT bagi tentera Islam kalah. Kan orang beriman tu. Kenapa bagi kalah dengan orang kafir? Bukan ke akan jatuhkan kehebatan Islam.

Sebenarnya kalau Allah SWT nak bagi menang boleh saja. Kan Allah SWT yang berkuasa atas segalanya. Kalau uolls nak tahu, antara ibrah kekalahan ni adalah:

🌸 Kalah dan menang ada siri pertukaran dalam hidup. Sunnatullah namanya.

🌸 Penapis umat Islam yang betul-betul beriman atau munafik.

Sebab tu kalau kita lihat dari segi realiti sekarang. Ujian hidup yang kita sedang hadapi ni jadi penapis keimanan kita.

Diuji dengan diri sendiri sakit, kemiskinan, gaji kecil walaupun ada ijazah tinggi, tiada pekerjaan tetap, kahwin lambat, belum dapat zuriat, suami isteri ibu ayah sakit teruk dalam jangka masa lama, semua ni UJIAN PENAPIS kita.

Macam mana Allah SWT tapis tentera Islam, begitu juga lah kita.

Ada yang dalam hati sering salahkan takdir dan mempersoalnya. Tawakal semakin berkurang dari masa ke semasa. Rasa Allah SWT tak sayang sebab hantar bertubi-tubi kesedihan di saat orang lain happy dengan keluarga.

Ops! Happy juga ujian ya. Ramai orang hidup happy dan senang lupa Allah SWT. Ramai gais.

Dalam ramai-ramai barisan tentera Islam: ada yang dapat syahid, ada yang stay dengan Nabi walaupun tak syahid dan ada yang lari tinggalkan Nabi. See tapisan yang real.

"Sedangkan Allah belum mengetahui (dalam realiti) orang yang berjihad dalam kalangan kamu dan belum lagi mengetahui (dalam realiti) orang yang sabar." -ali Imran: 142-

Jihad/berusaha dan terus sabar. Ini kunci berjaya lalui tapisan Allah SWT.

Masih ingat punca kekalahan dalam siri 3 yang salah satunya adalah timbul perasaan down para tentera lepas dengar berita Nabi wafat di medan yang digemburkan oleh musuh?

Kat sini ibrah yang dapat dikeluarkan adalah kita beriman bukan kerana manusia. Jangan bertuhankan manusia. Hanya Allah tujuan penyerahan total kita.

Bahasa pasar macam ni. "Okay, Nabi SAW dah wafat. Jadi awak nak kembali kepada kekufuran?"

Fuh. Panjang dah uolls baca cerita pagi ni 🤭

Okay kita sambung. Sebenarnya kekalahan dalam Perang Uhud adalah didikan Allah kepada umat Islam.

1) didik mereka dengan syura/mesyuarat

2) latih mereka pikul tanggungjawab yang lebih besar suatu hari nanti

3) biar mereka buat kesilapan supaya mereka belajar bagaimana mahu perbaiki kesilapan

Bayangkan kalau tak pernah buat silap, bagaimana mahu belajar. Kita pun kalau tak pernah jatuh basikal, mungkin takkan reti nak guna brek pun. Langgar saja semua bonggol dan kayu.

Satu lagi ibrah paling best tentang syura tu, jika keputusan dalam meeting yang kita buat tu menemui jalan gagal dan silap, jangan marah atau kecewa. Syukurlah sebab Allah beri peluang kita untuk belajar dan bijak di masa depan.

Lagi-lagi kalau idea kita ahli syura tak ambil, pastu rupanya idea kita yang betul. "Hah kan dah cakap. Tak nak dengar."

Oh jangan begitu ya. Belajarlah dari syura dengan sabar dan ukhuwwah.

Belajar sesuatu? Terima kasih daun keladi sebab baca sampai habis. Kita jumpa lagi.

#siriibrahperanguhud #4

Wednesday, 18 August 2021

Siri Ibrah Perang Uhud #3

 

Merhaba! Hari ni kita sambung siri 3 ibrah Perang Uhud nak? Masih ingat kan kisah luar dalam Perang Uhud kita ambil dari surah ali Imran 122 hingga 194.



Korang tahu tak kenapa pasukan memanah mula turun untuk ambil harta yang menyebabkan tentera muslimin kalah?

🌸 Sebenarnya semua ni permainan syaitan dan para munafik. Ayat 144 bongkar kisah sebenar.

Dalam keadaan kelam-kabut selepas pasukan memanah tinggalkan bukit untuk ambil harta, tentera musyrik naik bukit dan serang muslimin. Dan ada pulan seorang fulan menjerit yang Rasulullah SAW sudah wafat dalam perang.

Ini antara bibit yang buat tentera Islam mula down dan tidak bersemangat lalu terus lemah.

Ada yang terus berpatah nak pulang ke Madinah semula sebab putus asa. Rupa-rupanya saat kalut tu Rasulullah SAW memanggil mereka tetapi mereka tidak dengar.

Mereka tenggelam dalam kesedihan dan putus harapan. Tinggallah Rasulullah SAW dan para sahabat yang berjiwa akhirat teruskan berperang.

🌸 Antara sebab kedua ialah pasukan pemanah bimbang Rasulullah SAW tidak akan bahagikan harta rampasan perang kepada mereka.

Munafiqin pun galak bisik-membisik yang kononnya waktu Perang Badar dulu, sesetengah harta rampasan hilang. Mereka nak fitnah Rasulullah SAW tu pecah amanah. Buruk sungguh perangai mereka.

Rumah Rasulullah SAW saja jarang berasap, ini kan pula nak makan harta rampasan perang. 😏 Semua ni ada diceritakan dalam ayat 161.

Dalam ayat 152 juga Allah SWT ada nukilkan "sehinggalah apabila kamu lemah dan berbalah dalam urusan perang dan kamu melanggar perintah Rasul sesudah Allah SWT memperlihat kepada kamu kemenangan..."

Mereka berbalah tentang harta dunia, then ingkar arahan Nabi SAW. Urusan perang yang dimaksudkan adalah urusan harta rampasan.

Tentera ketika dalam perang Uhud pecah kepada 2 kelompok; inginkan harta dunia dan ingin akhirat. Ini rahsia sebenarnya yang Allah saja yang tahu.

Sehingga ada sahabat iaitu Abdullah ibn MAs'ud berkata: "Dahulunya aku tak pernah terfikir ada sahabat yang berkehendakkan dunia sehinggalah ayat ini turun."

Allah SWT buka rahsia yang tiada seorang yang tahu dengan turunnya ayat 152 ini.

 "Di antara kamu ada yang berkehendakkan dunia dan ada pula yang berkehendakkan akhirat."

Apa yang tambah sebak, walaupun mereka berbuat kesalahan dan tamak, Allah SWT yang Maha Pengampun tetap beri keampunan kepada mereka dalam baris ayat yang sama 🤲🏼 Baik kan Allah?

Ibrah/pengajaran kisah hari ni?

🍁Allah SWT Maha Mengetahui apa yang manusia bisikkan dan keinginan dalam hati.

🍁 Rasulullah SAW juga manusia. Beriman lah kerana Allah SWT bukan manusia. Manusia akan mati akhirnya.

🍁Jangan tamak dengan kekayaan dunia yang hanya sementara.

Dapat sesuatu? Jumpa dalam siri keempat nanti!

#siriibrahperanguhud #siri3

Thursday, 12 August 2021

Siri Ibrah Perang Uhud #2


 

Okay pagi ni kita sambung siri ibrah Perang Uhud kita 😊

Kita mulakan pagi ni dengan ayat 123 yang   Allah SWT menceritakan hakikat kemenangan dalam Perang Badar tempoh hari.

1) kemenangan Perang Badar berlaku kerana pertolongan Allah SWT.

2) suatu mukjizat.

3) bukan kerana kuatnya tentera Islam.

Di sini Allah mengembalikan mereka yang sebenarnya ia mukjizat. Bukan sebab diri mereka sendiri atau kekuatan mereka. Ada asas akidah kat sini.

Allah SWT punca segala urusan hidup kita.

Sama juga macam duit dan kekayaan. Sebenarnya bukan sebab usaha kita pun, tapi sebab Allah nak beri.

Tapi kita sebagai manusia mesti hidup dalam sunnatullah yang telah ditetapkan. Iaitu tetap taat dan patuh laksanakan kewajipan sebagai hamba-Nya. Boleh memilih yang mana baik, yang mana buruk. Bukan hanya berpeluk tubuh.

Siapa bekerja, dia dapat hasil. Ini sunnah alam yang Allah tetapkan.

Okay, jom baca lagi 😊

Seterusnya ada Allah SWT nukilkan beberapa ciri para muhsinin dalam kelompok ayat 130 hingga 136. Muhsinin tu apa?

Orang yang dikasihi Allah dan mengasihi Allah.  

"Dan orang-orang yang menahan kemarahan mereka dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain terhadap mereka."

* bila marah pada orang mesti tahan dan sabar. Lalu maafkan orang yang kita marah. No dendam dendam ya.

Oh, ada pula satu ciri orang bertakwa yang Allah selit dalam ni. Kita selalu bayang takwa ni mesti berada dalam soleh sentiasa tak buat dosa kan? Tapi rupanya takwa ni luas.

Jom tengok ayat ni.

"Dan orang-orang yang apabila mereka melakukan sesuatu kejahatan atau menganiaya diri sendiri, mereka teringat kepada Allah dan terus memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka...."

See. Rupanya orang bertakwa juga ada buat dosa. Tapi dengan syarat dia sedar, ingat Allah dan terus minta ampun. Baik kan Allah ni?

Masih beri kemaafan dan terus memaafkan kita. Dapat sesuatu? Jumpa lagi dalam siri ke-3! 😍

#siriibrahperanguhud #siri2

Tuesday, 3 August 2021

Siri Ibrah Perang Uhud #1

 


Bila kita cerita tentang Perang Uhud, mesti semua orang terbayang yang ada pasukan yang tak ikut arahan Rasulullah SAW dan terpedaya dengan harta.

Bila baca tafsir surah ali Imran bermula ayat 121, kisah Perang Uhud ini sangat epik rupanya. Penuh dengan pengajaran yang bertubi-tubi tanpa henti. Sesak dada bila baca.

Ya, bila sebut epik, semua akan terbayang Perang Badar, kan? Sebab perang yang hebat dengan kemenangan besar.

Kalah bukan bererti kita KALAH ya. Ada pelajaran besar dalam kekalahan itu. Mungkin akan membawa kepada next kemenangan yang lebih besar.

Sorotan kisah dimulai dengan suasana sebelum perang berlaku. Rasulullah SAW dan para muslimin bersyura/mesyuarat untuk membuat keputusan atau mungkin strategi perang.

Setelah habis syura, rupanya ada 2 kumpulan yang terasa takut dan ingin undur diri. Mereka tak sebut kepada Nabi secara terangan. Hanya berkata sendiri atau mungkin dalam hati. Semuanya hasil hasutan bapa munafik, si Abdullah ibn Ubay itu.

Mereka adalah bani Salamah dan bani Harithah.

Turun ayat 122 telah membongkar hasrat hati mereka itu.

"Kenangilah ketika dua kumpulan daripada kamu ingin berundur kerana takut, dan Allah-lah pelindung kedua mereka dan hanya kepada Allah hendaklah para mukmin itu bertawakal."

Mereka hampir ingin undur diri, tetapi Allah yang Maha Mendengar hasrat mereka telah menyelamatkan mereka dari berundur dan ketakutan.

Kalau buat drama, boleh dapat dalam 4 scene ni.

Scene 1: semasa mesyuarat diketuai Rasulullah SAW.

Scene 2: semasa Abdullah ibn Ubay hasut orang mukmin dengan mulut muncung-muncung gaya over.

Scene 3: ketika 2 kumpulan berkata sendiri ketakutan.

Scene 4: Suasana mereka tersedar semula dan Rasulullah memberi kata-kata semangat.

Mungkin, Fana berangan saja hehe.

Apa pengajaran boleh belajar daripada ayat 121 dan 122 ini?

1) Allah SWT Maha Mendengar dan Mengetahui. Walaupun kita tak ungkap dan sebut guna mulut, DIA tetap tahu.

2) Amalan syura/mesyuarat antara amalan terbaik dalam hidup. Jika ada masalah, buatlah aktiviti syura agar idea solusi bercambah dan dapat keputusan yang lebih tepat.

3) Tawakal. Jangan takut dengan ujian hidup. Serahkan segalanya kepada Allah yang Maha Mengurus.

Biasakan selepas mesyuarat, bila keputusan sudah dibuat hasil majoriti punya keputusan, lapangkan dada dan serah tawakal kepada Allah SWT. Jangan ragu-ragu dan penuh sangsi.

Belajar sesuatu?

Jumpa dalam siri 2 pula nanti!

#siriibrahperanguhud #siri1 #tafsirfizilalalquran


Ummi Belajar Pendidikan Seksualiti daripada Kitab Tarbiyatul Aulad

Alhamdulillah hari ini berpeluang dengar kuliah kupasan kitab Tarbiyatul Aulad daripada Dr Hidayah Ahmad Azam.   Dalam kesejukan hujan, koso...