Tuesday 18 August 2015

DA'I MILLENIA 3 EP 1: HILANG JATI DIRI DAIE SEBENAR

# ASSALAMU'ALAIKUM SEMUA PEMBACA #





Ahad yang lepas, aku tertunggu-tunggu untuk menonton rancangan Da'i Millenia musim baharu. Kini sudah memasuki musim yang ketiga. Tahniah! Rancangan pencarian pendakwah muda ini akan disiarkan setiap hari Ahad pada jam 9 malam selama satu jam. Mungkin ini pilihan terbaik daripada rancangan realiti Akademi Fantasia 2016 di Astro Ria itu. Di rumahku hanya menggunakan Astro Njoi di mana saluran Ria tiada dalam senarai pakej. Tiada pilihan.

Pertama sekali,

Satu hal yang aku agak kecewa bilamana bahagian ujibakat di UniSZA pihak penerbit hanya menerbitkan sedikit sahaja sedutan. Yang ditunjukkan pun yang tidak berapa bagus persembahannya. Aku kira seakan sabotaj pula. Ramai lagi rakan lelaki kelasku yang menghadiri ujibakat dan aku kira mereka agak bagus, namun tiada. Hampa.  Bila di UA yang terkenal lama pula sedutan dan ramai yang ditemubual. Okay. Fine! UniSZA kan tidak terkenal.

Rancangan yang sangat bagus matlamatnya, namun cara pelaksanaan aku kira agak janggal di sisi Islam. Perkhemahan untuk bina jati diri dan kekentalan fizikal sememangnya diperlukan untuk menghasilkan daie yang mantap luar dan dalam. Sesi motivasi dan ceramah merupakan makanan rugi bagi sesuatu perkhemahan. 

Tapi...

Permainan dan sesi kawad bersama peserta lelaki dan perempuan bukanlah suatu yang menarik perhatian bagi yang kukuh jiwa Islamnya. Bergelak sakan dan permainan berpasangan berlainan jantina tidak dapat diterima akal fikiran. Matlamat tidak menghalalkan cara!

Aku kira program realiti ini memang menguji kekukuhan prinsip hidup bagi setiap peserta yang berlatar belakangkan pengajian Islam ini. Mereka boleh sahaja untuk kekal dengan penampilan asal mereka selagi tidak yang mencacatkan aktiviti program. Ada sahaja daie yang aku lihat masih bertudung labuh (bulat) ketika diari berlangsung. Tidak berlebihan dalam menatarias wajah. Ada yang aku lihat bertudung labuh yang amat ketika sesi ujibakat, namun sudah bertukar selendang segera yang berwarna menarik. Mungkin pemakaian peserta sepanjang diari adalah bebas. Peserta wanita sememangnya diuji oleh Allah swt dalam rancangan ini. 

Ya. Ujian Allah swt.

Ujian yang Allah swt turunkan untuk melihatkan sejauh mana keikhlasan dan ketulusan niat mereka untuk menyertai program realiti ini. Mahu menjadi selebriti terkenal ataupun menjadi pendakwah selebriti. Sejauh mana mereka yang akan keluar dinobatkan sebagai daie ini mampu mempertahankan prinsip mereka. Sejauh mana mereka mampu menjadi qudwah (contoh tauladan) buat masyarakat awam yang menonton terutamanya anak muda. 

"Ala, lebih kurang sahaja program kita ini dengan program dai itu. Bolehlah tu agaknya main ikat kaki walaupun jauh. "

Aku kira mereka yang masing-masing bijak berkata-kata dan berani tampil dihadapan boleh menyuarakan pendapat mereka. Aktiviti ini tidak sesuai. Kita sepatutnya begini. Itu bukanlah suatu kesalahan bagiku. Itulah kekuatan sejati seseorang daie. Berani kerana benar!

Sepanjang aku menjalani kehidupan tarbiyahku ini, seingat aku tidak pernah aku bermain dengan rakan berlainan jantina sebegitu. Perkhemahan dan segala program bersifat tarbiyah kami asingkan lelaki dan perempuan. Jadinya boleh bermain segalok mungkin tanpa sesi kaver-mengaver.  Hatta dalam meeting pun kami masing menjaga ikhtilat kami. Tidak akan ada meeting jika tiada murafiq. Apakah murafiq itu? Peneman kami sepanjang meeting berlangsung dan sudah semestinya peneman yang sudah bernikah. Amat dititik beratkan. Agar kami boleh menjaga tingkah laku kami. Tiada panggilan nama sahaja ketika bercakap. Akan didahulukan ukhti/akhi/ustaz/ustazah sebagai adab dan menghormati satu sama lain. Walaupun dia jauh muda daripada kita. 

Jika mahu sampaikan barang atau surat atau dokumen yang penting yang perlu ditandatangan pun kami akan melalui ustaz atau ustazah kami. Biar lambat asal selamat daripada fitnah. Kadang-kadang tiru meniru tandatangan terpaksa dilakukan (kes terpencil sebab mahu cepat).

Sesi untuk bercakap tanpa keperluan sesama lain jantina amatlah canggung dan tiada siapa yang berani berbual pun jika tidak perlu. Jika terserempak dalam perpustakaan pun buat-buat tidak kenal satu sama lain. Pelik kan? Tiada hai atau lambaian atau senyuman sama sekali. 

Segalanya demi menjaga Islam daripada difitnah. 

Tarbiyah sangat indah untuk difitnah. Kenalilah tarbiyah dahulu, baharulah kamu akan rasa kemanisan Islam itu sendiri. 

Aku harap, ahad malam nanti akan lebih bagus penampilan programnya setelah pelbagai kritikan dan teguran dilemparkan oleh rakyat marhaen. 

Good luck Da'i Millenia 3!

 

No comments:

Post a Comment

Keberkatan Dalam Gaji

  Sumber: Photo by micheile henderson on Unsplash Sebenarnya rasa geram dan tak puas hati bila lihat orang gaji yang lebih daripada kita, t...