Tuesday 3 April 2012

Filem idaman ku..

Salam ukhuwwah..di hari-hari yang amat banyak dugaan ni.. terasa syok lak nak share satu sinopsis cerita yang aku cipta sendiri..sudah lama menginginkan cerita sebegini..islamik yang bukan hanya sekadar cinta  yang selalu ditayangkan di tv..akan tetapi lebih kepada tema; amar akruf nahi mungkar dan pendidikan.. memang sepatutnya cerita yang macam ni kena banyak di tv..memberi semangat kepada Muslim untuk berdakwah...










Penerbit filem di Malaysia selalu rasa cerita cinta sahaja yang mendapat tempat di hati penonton Malaysia..cuba lihat, kenapa cerita hindustan dan indonesia yang banyak menterjemahkan tema sebegini boleh diterima umum..












Harus mempunyai skrip yang baik dan konsep yang menarik sahaja..insya Allah jika baik niat kita untuk menerbitkan sesuatu filem itu..akan berjaya akhirnya dengan izin Dia..

Jom baca..sila kan komen..hukk..

SINOPSIS  ‘ SEMULUS HATI AISYAH’
TEMA : PENDIDIKAN DAN NILAI MURNI KEMASYARAKATAN
GENRE: SANTAI ISLAMIK

Aisyah, seorang kanak-kanak perempuan yang sungguh comel berumur 11 tahun. Aisyah bertudung Syria dan sangat disenangi ramai. Hobinya yang suka menulis apa sahaja yang dilihat disekeliling menjadikan diari berwarna pink serta pensel mekanikal yang di bawa di dalam beg selimpangnya sebagai teman karib di mana sahaja Aisyah berada.

Pada suatu hari, Aisyah bermain di taman permainan bersama Alya, rakan baik Aisyah yang amat gemar makan aiskrim. Aisyah terlihat sekumpulan remaja lelaki yang sedang asyik merokok dan menconteng pondok rehat di hujung tasik sana. Lantas, Aisyah mengeluarkan ‘ Pinky’ dan mencoret. “ Hari itu, cikgu ada beritahu Aisyah yang kita tak boleh merokok, tapi Aisyah lihatkan Pinky, abang-abang kat sana tu tengah merokok! Kan cikgu kata merokok tu boleh buat kita sakit dan Allah tak suka. Kenapa mereka merokok juga ye? Aisyah tak faham..”. Memang hidup Aisyah sentiasa berlingkar dengan persoalan. Aisyah keliru dengan peristiwa yang berlaku sekeliling, yang mana ianya  bercanggah dengan apa yang diajar oleh cikgunya di sekolah serta suruhan ibu bapanya di rumah.

Fikiran Aisyah bertandang kembali ketika mereka anak-beranak duduk berteleku di atas sejadah selepas solat Maghrib. Ayah Aisyah, Abdul Rahman menyampaikan tazkirah pendek mengenai wajibnya kita sebagai hamba Allah mengikuti perintahNya. Abdul Rahman menasihatkan pada Aisyah dan ibunya, Maisarah supaya jangan mudah terpengaruh dengan godaan dunia luar. Sama ada dari segi pergaulan mahupun fesyen arus semasa.

Di sudut meja guru yang lain, Zulaikha seorang guru Matematik yang sangat ‘up-to-date’ sedang mengetuk-ngetuk hujung pennya di meja. Dia kebosanan. Silibus sudah habis di ajar, tetapi harus masuk ke kelas juga. Baginya ia suatu perkara yang hanya membuang masa. Prinsip Zulaikha adalah guru ini hanya satu profession untuk mencari gaji bulanan sahaja. Tidak lebih dari itu. Pagi datang pukul 7 lebih sedikit dan balik tepat 2 petang.

Sewaktu rehat, Ammar, pelajar tingkatan 3 di sekolah tempat Zulaikha bekerja, datang ke meja Zulaikha. Dia berhasrat untuk menanyakan beberapa soalan yang dia tidak fahami dan kuasai jalan penyelesaian.  Ketika itu, Zulaikha sedang bercakap di telefon dengan teman lelakinya, Sufian.  Zulaikha membiarkan Ammar berdiri agak lama di sisinya tanpa ada rasa adab sebagai seorang pendidik. Kira-kira 15 minit kemudian, setelah perbualannya tamat, dia mematikan telefon bimbitnya dan terus menengking Ammar dengan nada yang agak keras dan kasar. Dia menegur Ammar yang menggangu perbualannya dan mengherdik Ammar yang tidak tahu hanya beberapa soalan yang mudah baginya.

Aisyah mengikut ibu dan ayahnya ke pusat membeli- belah. Sedang ibu Aisyah sibuk memilih tudung Syria yang pelbagai warna di salah satu butik di situ, Aisyah melihat seorang wanita yang agak berumur usianya sedang melepaskan ikatan rambutnya yang perang ala-ala orang Afrika. Aisyah menulis kejadian yang berlaku di dalam diarinya dan berjalan perlahan ke arah wanita itu. Aisyah bertanya kepada wanita itu kenapa dia tidak bertudung sepertinya sebagaimana suruhan ibu dan ayahnya, sambil erat memegang diari comelnya. Wanita itu naik berang lalu merampas kasar diari Aisyah dan mengoyakkannya. Aisyah menangis dan mengutip helaian diarinya dengan linangan air mata dan tersendu-sendu.

Dalam pusat membeli-belah yang sama, Zulaikha berdua beriringan dengan Sufian. Mereka baru sahaja keluar dari panggung wayang menonton filem ‘ Ombak Rindu’. Filem yang bermula 7.30 malam dan berakhir pada  9 malam semestinya menuntut untuk Zulaikha dan pasangan ‘dunia’nya itu meninggalkan kewajipan mereka  iaitu bersolat Maghrib. Baginya tiada apa yang merugikan jika dia meninggalkan solat yang mana boleh dia lakukan pada esok hari lagi berbanding dengan tiket filem terhebat ini yang sukar untuk dibeli untuk masa akan datang.

Air mata Aisyah tumpah di tadahan tangan mulusnya yang sedang  berdoa. Aisyah bersama ibu bersolat Maghrib di dalam surau yang sesak dengan orang. Aisyah mengadu pada Allah tentang diarinya yang baru sahaja dikoyakkan. Dia amat marah dan geram pada mak cik itu. Hadirnya ibu di sisi,  mententeramkan Aisyah dengan berjanji akan membelikan diari baharu yang lebih cantik lagi.

Bermulalah kehidupan Aisyah bersama diari barunya. Dia mencoret untuk muka surat yang pertama dengan impiannya apabila dia sudah dewasa nanti. Aisyah berjanji dia akan menjadi seorang cikgu yang baik dan menjalankan suruhan Allah.  Dia akan mengajar anak-anak muridnya nanti dengan adab-adab sebagai seorang manusia. Berlaku baik pada semua orang dan menasihati kawan yang jahat. Dia mahu pada zamannya dewasa nanti semua orang di sekelilingnya tidak melakukan kejahatan dan sentiasa tolong-menolong sesama sendiri. Hampir 3 helai muka dihabiskan dengan impian berkobar dalam diri.

Pada suatu petang, Aisyah berbasikal bersama diari dalam bakul di hadapan rumahnya. Sedang asyik mengayuh, Aisyah tidak perasan yang di bahagian kiri jalan rumahnya ada sebuah kereta yang dipandu laju. Si pemandu Myvi merah, Zulaikha sedang asyik menaip pesanan khidmat ringkas buat Sufian tidak sedar kehadiran Aisyah secara tiba-tiba di hadapan. Zulaikha hilang kawalan lalu melanggar si kecil, Aisyah. Aisyah terpelanting. Badan kecil Aisyah berlumuran darah manakala diarinya tercampak ke dalam longkang.

Diari Aisyah dipungut oleh Zulaikha. Zulaikha membuka diari tersebut. Dia membaca baris demi baris. Dengan linangan air mata, dia berasa sungguh berdosa dengan kehidupan yang dia lalui selama ini. Menjadi seorang guru yang tidak amanah pada tugas yang diberi dan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendidik anak bangsa menjadi hebat di mata dunia. Dalam penuh keinsafan, dia memeluk diari Aisyah seerat-eratnya.

Tamat.
















No comments:

Post a Comment

Keberkatan Dalam Gaji

  Sumber: Photo by micheile henderson on Unsplash Sebenarnya rasa geram dan tak puas hati bila lihat orang gaji yang lebih daripada kita, t...