Tuesday 24 May 2016

DEFINISI & HUKUM BELAJAR ILMU HAID

# Assalamu'alaikum pembaca #


Kredit Google


Entri hari ini khusus buat wanita dan lelaki. Aik! Kenapa lelaki pula perlu baca pasal haid ni? Kami mana datang haid, cik kak oi!!

Ibu kamu. Kakak dan adik kamu. Bakal isteri kamu dan isteri-isteri kamu. Anak-anak perempuan kamu. 

Mereka semua datang haid. Nak tak nak, orang lelaki pun perlu belajar ilmu ini. Kalau pembaca nak tahu kebanyakkan insan yang pakar tentang haid ini ramai terdiri daripada kaum Adam. Ustaz di U saya, ustaz yang tulis buku khusus pasal darah wanita dan ustaz yang selalu buat daurah di mana-mana tempat. Semuanya lelaki. Saya pun pelik kenapa tak ramai ustazah yang mengajar bab ini.

Keluar darah haid itu fitrah bagi manusia yang bernama perempuan atau wanita. Haid bukan perkara yang perlu dimalukan atau disimpan rapat-rapat sendiri.

Ilmu tentang haid suatu kewajipan untuk pelajari. Fardhu ain tau. Sama macam solat, taharah, puasa, zakat dan haji. 

Kenapa kita boleh sibuk pergi kelas berniaga yang perlu dibayar beratus ribu harga pendaftarannya, tetapi tidak sanggup untuk melabur sedikit masa untuk mempelajari ilmu fardhu ain ini.

Kenapa ilmu ini dikira sebagai ilmu fardhu ain?

Begini. Kalau kita salah kira tempoh haid kita, berkemungkinan besar akan mempengaruhi waktu solat dan ibadah yang lain. Sepatutnya darah kita yang keluar itu darah istihadah, tapi kita ingatkan darah haid, lalu kita pun tinggalkan solat yang wajib. Dosa kan? Meninggalkan solat kerana silap kira tempoh haid.

Nampak tak besarnya peranan belajar ilmu haid ini?

Kalau kita tersilap kerana kita tidak tahu, tidak mengapa. Janji kita ambil tahu selepas itu.

Orite! Jom, hari ini kita belajar sikit sahaja. Sikit je, saya janji.

Kita mulakan dengan DEFINISI haid. 

Haid secara bahasa dipanggil sebagai 'mengalir'. Darah mengalir kan?

Dari segi istilah ulama feqah pula, 'darah tabii (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan ketika badannya dalam keadaan sihat, dalam tempoh-tempoh yang tertentu'.

Poin penting: darah semula jadi [bukan akibat torehan atau luka]; keluar dari pangkal rahim [bukan dari lubang yang lain]; ketika sihat badannya [bukan akibat kemalangan atau batuk kering ke] dan dalam tempoh tertentu [bukan suka-suka hati bila hendak keluar]. 

Faham kan? Mudah saja tu. Ingat poin pentingnya sahaja.

Okay! Sudah faham definisi haid, kita mesti tertanya kan, dalam al-Qur'an atau hadis Nabi SAW ada cerita pasal haid tak? 

Soalan yang bagus!

Kalau dalam kitab Allah, al-Qur'an, hanya ada satu ayat sahaja yang menceritakan tentang haid dan selebihnya dalam hadis Nabi. 

Surah al-Baqarah ayat 222. Bukalah al-Qur'an kamu. Baca sekejap. 

"Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai hukum haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang menjijikkan dan mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang haid itu".

Bagi yang pernah membaca siri cerpen Nani & Nana, saya ada menceritakan kisah kaum Yahudi dan Nasrani dalam berhadapan dengan isteri mereka yang datang haid. 


Kamu tahu tak ada seorang wanita yang tidak pernah datang haid, tapi beliau mempunyai anak?

Beliau ialah Fatimah al-Zahra', puteri kesayangan Rasulullah SAW. Allah SWT memberi peluang kepada Fatimah untuk sentiasa beribadat kepada-Nya. Nama al-Zahra' yang digelarkan pada beliau membawa maksud yang terlindung dan putih bersih kerana tidak pernah datang haid.

Oh, macam panjang sudah. Sampai sini sahajalah buat masa ini. Kita sambung dalam entri yang lain pula, insya-Allah. Jangan lupa untuk baca siri cerpen Nani & Nana ya! 

No comments:

Post a Comment

Keberkatan Dalam Gaji

  Sumber: Photo by micheile henderson on Unsplash Sebenarnya rasa geram dan tak puas hati bila lihat orang gaji yang lebih daripada kita, t...