Saturday, 9 April 2016

NANI & NANA #3: KEDUDUKAN HAID SEBELUM KEDATANGAN ISLAM

19:26 Posted by Ukhti Mawar No comments

Kredit Google. com




Sesak. Ruang Mydin MITC Melaka padat dengan manusia. Ada yang menolak troli yang sarat dengan barang dapur. Ada juga yang melipat-lipat kotak untuk diletakkan barangan yang sudah dibayar. Ada yang asyik membelek-belek pameran pakaian di ruang legar. Tak kalah juga yang duduk di bangku memerhatikan gelagat manusia lain. Seperti Nana dan Nani. Mereka melepaskan lelah berjalan dan berehat di ruang foodcourt yang juga dipenuhi manusia pelbagai ragam. Mereka memerhatikan gerak-geri manusia sekeliling.

“Ni, Islam ni hebat kan? Wanita terus diangkat martabat mereka selepas kedatangan Islam.” Nana memecahkan lamunan Nani. Tersenyum, lalu menghirup air limau ais di hadapannya.

“Memang pun. Terlalu hebat dan agung. Fasa-fasa awal Islam disebarkan penuh dengan pengorbanan dan keindahan keimanan. Hamba, anak kecil, wanita semua dilayan setaraf di sisi Allah dalam sudut keimanan dan ketakwaan,”  Nani menambah.

“Sekejap ya, Ni. Nak order sizzling sekejap.”

Nani membelek telefon bimbit pintar Opponya. Membaca mesej-mesej di WhatsApp atau Telegram memang boleh melekakan. Kadang-kadang tidak sedar sudah berjam-jam menghadap telefon. Tidak ramai yang memanfaatkan kemudahan aplikasi seperti itu. Yang ramai ialah yang suka membuang masa dan berjenaka kosong dengan aplikasi-aplikasi itu. Kemudahan disalahgunakan. Rugi!

“Kalau Nana nak tahu. Kedatangan Islam juga telah merubah kedudukan haid.”

“Maksudnya bagaimana tu, Nani?” Nana membetulkan kerusinya sedikit.

“Kalau pada zaman sebelum kedatangan Islam, wanita yang berhaid ini dipandang hina dan keji oleh masyarakat. Mereka menganggap kedatangan haid ialah suatu keaiban yang perlu dielakkan dan disembunyikan.” Nani menarik sarung lengannya sedikit supaya lengan tangannya tertutup sempurna.

“Golongan Yahudi sebelum kedatangan Islam telah bersikap melampau dalam bermuamalah dengan wanita haid. Tidak kira isteri atau siapa sahaja. Kaum lelaki akan menyisihkan kaum wanita yang berhaid dengan mengasingkan tempat tidur dan tidak makan bersama mereka. Teruk, bukan?” 

Nana menggeleng-gelengkan kepalanya.“Teruknya!”

Nani menyambung. “Ada kaum lagi teruk, Na. Macam kaum Nasrani, mereka pula mengambil sikap tidak peduli dengan kedatangan pada diri wanita. Kaum suami akan terus bersetubuh dengan isteri mereka tanpa menghiraukan darah yang mengalir atau kesakitan yang dialami si isteri.” Nana memlemparkan reaksi tidak puas hati. 

“Kejamnya, Ni. Buruk sungguh layanan masyarakat jahiliah dahulu terhadap perempuan yang kedatangan haid,” Nana memberikan respon yang memang wajar.

“Kan… Islam memang agama yang terbaik. Segala persepsi buruk terhadap wanita yang berhaid berubah seratus peratus. Ajaran Islam sangat sederhana dan menepati fitrah semulajadi manusia. Tidak terlalu ekstrim dan tidak terlalu mengambil mudah.” 

Nani dan Nana menghabiskan makanan di pinggan masing-masing. Air Nana masih penuh lagi. Si Nana seorang ini memang kurang gemar minum air. Dia hanya akan minum jika dia betul-betul dahaga sahaja. Itu memang amalan buruk Nana. Dia mengakui.

“Nabi Muhammad saw pernah bersabda yang bermaksud: ‘Kamu boleh melakukan apa sahaja (ketika dating haid) kecuali bersetubuh. Tengok. Rasulullah sudah cakap beribu tahun dahulu, yang tiada halangan untuk bermuamalah dengan wanita haid melainkan 'bersama' suami isteri. Kalau zaman sekarang masih ada lagi yang merasa itu suatu keaiban, memanglah jahil.”

“Lagi Ni.” 

“Dalam kitab Tafsir Kabir, karangan Sheikh Imam Muhammad Razi Fakhruddin, ada menerangkan tafsiran ayat 222 daripada surah al-Baqarah. Ayat tu merupakan dalil perempuan memang kedatangan haid. Cuba Nana buka Al-Quran dalam telefon Nana.” Nani turut mengambil telefonnya. Dia terus mencari aplikasi yang akan dia buku setiap kali menunggu bas di kolej. 

“Tatkala ayat ini turun, orang Islam pada ketika itu telah berpegang pada zahir ayat ini. Mereka terikut-ikut dengan cara kehidupan orang Yahudi Madinah. Mereka telah mengasingkan wanita yang berhaid dengan mengeluarkan mereka daripada rumah kediaman. Ada juga yang tiada pantang larang seperti kaum Nasrani.”
“Bila masyarakat Islam mula sedar, Ni?” Nana menyedut airnya lagi dua sedutan.

“Kemudian, beberapa orang Arab datang bertemu dengan Rasulullah saw. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah, cuaca telah menjadi sangat sejuk sedangkan kami kekurangan pakaian. Jika keadaan ini berterusan, keseluruhan ahli rumah (perempuan) kami yang kedatangan haid akan mati kesejukan. Nana tahu apa Rasulullah saw jawab.”

“Apa, Ni?” Badan Nana terkehadapan sedikit. Seakan tidak sabar untuk mengetahui.

“Aku hanya menyuruh kamu menghindarkan diri daripada berjimak dengan isteri-isteri kamu ketika mereka kedatangan haid dan aku tidak menyuruh kamu mengeluarkan mereka daripada rumah atau melalukan perkara –perkara lain sepertimana yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani.” 

“Mesti orang Arab tu insaf, kan?”

“Awak rasa macam tu? Tak insaf pun Na. Mereka berkata selepas Nabi saw menjawab pertanyaan mereka: Lelaki ini (yakni Rasulullah saw) ingin meninggalkan amalan kita dan menyalahi kita.”

“Serius? Kerasnya hati mereka!”

“Sebenarnya boleh sahaja suami tidur bersama isteri mereka. Untuk tidur berhimpit-himpit pun tiada masalah. Yang salah ialah bersenda antara pusat dan lutut. Mesti ada izar iatu kain penghalang.” Nani menambah lagi.

“Kalau kita pergi dengar kuliah agama boleh, Ni?

“Boleh sahaja. Tapi tempatnya bukanlah di ruangan solat masjid. Kalau dewan dalam kawasan masjid boleh sahaja.”

“Okay. Faham!”

“Kita pun dah faham. Perut pun sudah kenyang. Jom balik!”

Kedua gadis bertudung labuh itu menjinjing bungkusan yang dibeli dan berjalan menuju ke kereta mereka.



{bersambung}


Ukhti Mawar (sabarmuberbunga.blogspot.my)



0 comments:

Post a Comment