Friday 25 March 2016

NANI & NANA 1: WARNA DARAH HAID







“Maknanya kalau ada warna kuning lagi tu, kita dalam tempoh haid lagi la kan?” Nana mengerutkan kedua keningnya. 

“Ya, Nana. Kekuningan sebahagian daripada warna darah haid. Tapi dengan syarat, warna kuning itu masih berada dalam tempoh haid yang sebanyak-banyak 15 hari.” Nani menambah sambil tersenyum manis menampakkan lesung pipi kirinya. “Kalau kekuningan berlaku di luar tempoh kadar sebanyak-banyak haid yang 15 hari, itu tidak dikira sebagai haid.”

Petang Ahad itu menjadi suatu petang yang sungguh ilmiah. Nana dan Nani yang pada mulanya bercerita tentang khabar masing-masing setelah seminggu tidak berjumpa, menjadi semakin rancak dengan perbincangan isu fiqh wanita secara tiba-tiba.

Isu permasalahan darah wanita ini terbangkit selepas ajakan Nani untuk bersolat Maghrib berjamaah dengan Nana di surau nanti. 

“Saya was-was sebenarnya ni, Nani. Tak tahu masih haid atau sudah suci.”

“Kenapa pula, Na? Ada darah lagi?” Nani membesarkan kelopak matanya sedikit.

“Darah tu tiada. Tetapi ada warna kuning. Kuning tu dah darah haid ke? Ada orang cakap bukan, ada yang cakap haid. Keliru jadinya.”

“Betullah tu. Kuning memang termasuk sebagai darah haid, Na.” 

Jawapan Nani itu bikin minda Nana ligat memutar soalan yang terpendam selama ini. Terlalu banyak.

*****
Bunyi motorsikal yang lalu lalang dihadapan mereka tidak langsung mengganggu perbincangan anak gadis dua orang itu. Mempunyai minat yang sama membuatkan mereka serasi bersilaturahim. Hampir 3 tahun mereka menyulam persahabatan. Kadang-kadang gaduh, kadang-kadang rindu. Tetapi, Nani lebih mudah untuk mengalah jika terdapat perselisihan faham antara mereka.

“Menurut kitab Tuhfatul A’izza’ susunan Ustaz Mansoor bin Ismail, ada lima warna darah yang keluar daripada rahim wanita. Hitam, merah, merah kekuningan atau perang, kuning dan keruh,” bersemangat Nani menerangkan. Lima jari kanannya digerak-gerakkan seakan ustazah kecil.

“Keruh? Macam mana tu?”

Hmmm, keruh tu warna seakan kuning keputih-putihan. Pertengahan antara putih dan hitam. Dalam kitab diibaratkan macam air yang kotor. Selalunya akan ada bila hari-hari akhir haid seseorang tu.” 

“Mengenali warna darah merupakan salah satu perkara yang penting untuk semua wanita tahu. Ada tiga perkara sebenarnya. Pertama, kita tahu yang mana darah kuat dan yang mana darah lemah. Kedua, warna-warna darah haid dan yang ketiga, unsur-unsur utamanya.” 

Nana mendengar dengan penuh khusyuk dan setia. Sekejap dia tunduk untuk menaip apa yang Nani perkatakan dalam telefon Asusnya, sekejap dia menganggukkan kepala. 

“Macam mana kita nak tahu yang mana satu darah kuat dan lemah, Ni? 

“Oh, ada tiga cara kita dapat kenal pasti kekuatan darah tu. Sama ada melalui warna darah, sifat darah iaitu rasa semasa darah keluar dan juga melalui baunya.”  

Nani menambah lagi.
 
“Warna darah seperti yang lima saya beritahu tadilah, kan. Kalau sifat darah pula macam apa yang kita rasa waktu darah tu keluar. Ada darah yang pekat dan hangat sahaja bila keluar, kan?” 

Nana mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju. 

“Ada yang tak pekat, cair sahaja dan juga yang kita tak sedar pun darah keluar, tak rasa apa pun. Ada juga yang rasa kebas atau sakit bila darah keluar.”

“Betul-betul. Saya pun pernah rasa macam sakit sikit bila darah keluar. Tapi biasanya hari-hari awal atau hari pertama haid.” Nana menyampuk. “Bau macam mana pula, Ni?”

“Kalau bab bau ni. Dikatakan ada dua jenis, satu berbau busuk dan satu lagi tidak berbau. Kalau ikut pemerhatian saya sendiri, kalau awal-awal haid mesti darah kita pekat dan berbau kuat kan? Lepas tu, lama-lama dah kurang baunya.”

“Aik! Na, dah nak azan la. Kita sambung dalam WhatsApp la perbincangan kita ni. Seronok pula rasa membebel mngeluarkan ilmu yang dipelajari.” Seloroh Nani sambil tergelak.

“Yup! Seronok sangat. Kalau begitu, nanti saya pm awak, okay!”

{bersambung}

*****

No comments:

Post a Comment

Keberkatan Dalam Gaji

  Sumber: Photo by micheile henderson on Unsplash Sebenarnya rasa geram dan tak puas hati bila lihat orang gaji yang lebih daripada kita, t...