Thursday 17 March 2016

INI BAHARU 1MALAYSIA!

# Assalamu'alaikum # 


Selasa yang lalu, aku berpagian di klinik sambil menunggu ibuku di dalam bilik rawatan. Secara tidak sengaja, aku telah terbabit dalam suatu perbualan yang mula-mulanya kosong tapi menjadi serius akhirnya. Perbualan bersama satu keluarga berbangsa India. 

Aku yang sudah lama bertapa di kerusi itu agak pelik pada mulanya saat keluarga itu mengambil tempat bersebelahanku. Sebab pak cik India yang memegang sang nenek India, berkopiah. Tapi keluarga yang lain berpakaian seperti tradisi mereka yang biasa aku lihat. Islam ke dorang ni?

Aku berada di tengah-tengah antara mereka. Kedudukan kami begini [Nenek-Cicit-Aku-Cucu (ibu kepada cicit)]. Dalam hati aku cakap, “Nasib baik engko pakai tudung penulis, kalau tak mesti macam family yang bahagia”

“Number dalam bahasa Tamil pun number ke?” Selamba saja mulutku bertanya. Sebab aku dengar si cicit tu tanya ibunya nombor berapa (kot) dalam bahasa ibunda mereka (aku buat kefahaman sendiri sebenarnya, sebab dengar dia sebut number). 

“Aah. Number juga.” 

Kakak tu menyambung lagi dengan ramah, “Dia tu (ditujukan pada anaknya) memang banyak cakap. Kat rumah dia cakap bahasa Melayu.” 

Dalam hati aku cakap biar betul budak ni. Aku pandang muka dia berkali-kali.

“Dia sekolah Melayu ke kak?” Suka hati aku je panggil akak kan. Belasah sajalah.

“Tak. Dia sekolah Cina kat Telok Mas.” Sekali lagi aku pandang anak dia. “Cuba cakap Cina sikit, dik?”

Anak dia senyum simpul sahaja. Malu agaknya. 

“Dia biasa saja cakap Cina, sebab ayah dia Cina.” 

Hah, biar betul keluarga ni. Pening kepala aku dibuatnya. Pelbagai bangsa, pelbagai bahasa dan mungkin agama (sebab tengok pak cik tadi pakai kopiah). Budak sekecil itu sudah tentu boleh berbahasa Tamil (bahasa ibunda), boleh juga berbahasa Cina (ayah Cina dan bersekolah di sekolah Cina) dan berbahasa Melayu (kawan ramai Melayu).

Lepas tu, si adik India tu merengek nak telefon mak dia. Aku dengar dia sebut Upin Ipin. Nak tengok Upin Ipin kot budak ni, aku cakap dalam hati saja la.

Tak lama kemudian, pak cik India yang berkopiah sampai. Dia ambil tempat disebelah nenek. 

“Ini ibu saya. Dia tinggal dengan saya kat Telok Mas.”

Aku bertanya, “Asal mana sebenarnya?”

“Nenek duduk kat Tambak Paya.”

“Tu kampung ayah saya. Rumah nenek mesti yang atas bukit perkampungan India tu kan?” Bukan main seronok aku bertanya sambil angkat-angkat tangan. Orang sekeliling memerhatikan kami. Mesti dorang cakap, ‘Apa yang budak tudung labuh tu over sangat berbual’. (hahaha)

“Saya ni dah dua tahun masuk Islam. Esok (atau Khamis aku tak berapa dengar) nak pergi mahkamah untuk selesaikan kes. Bekas isteri tak nak masuk Islam sama. (Bekas isteri maksudnya ibu kepada kakak sebelah kananku). Dia agama Kristian. Putus lepas saya masuk Islam.” Pak cik tu tetiba saja bercerita. Mungkin dia lihat aku alim semacam berjilbab besar, dia pun cerita. Sensitif kot isu agama ni. 

“Nenek tak nak masuk Islam lagi,” pak cik berkata sambil memandang ibunya. 

Saat aku nampak kelibat ibuku keluar dari bilik, “Dah ma?”
“Okay, nek, kak. Saya balik dahulu ya!”

Ohh… akhirnya persoalanku di awal pertemuan sudah terjawab. Pak cik tu baru masuk Islam dan ahli keluarga yang lain belum lagi (insya-Allah, aku doakan mereka dapat hidayah daripada ALLAH SWT). Moga urusan pak cik itu juga selesai di mahkamah nanti. 

Keluar sahaja daripada klinik, “Kau bincang apa dengan dorang tu? Rancak semacam je,” ibuku bertanya menyindir.

“Takde apa. Rahsia keluarga.” (hahaha, yang ini rekaan semata) – dalam kereta habis dari A sampai Z aku ceritakan pada ibuku. 

Ini baharu 1MALAYSIA!!!

No comments:

Post a Comment

Keberkatan Dalam Gaji

  Sumber: Photo by micheile henderson on Unsplash Sebenarnya rasa geram dan tak puas hati bila lihat orang gaji yang lebih daripada kita, t...