Saturday 31 October 2015

TAFSIR AL-ASR; PENDEK TAPI PANJANG



“Demi masa!”


“Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian.”


“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, saling berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan kesabaran.”

Hanya tiga baris ayat. Surah yang pendek dan ringkas namun mempunyai pelbagai hikmah yang tersembunyi. Surah ini merupakan suatu perlembagaan Islam yang hebat. Terutamanya ayat yang ketiga mampu merubah rakyat yang hidup terkontang-kanting tanpa matlamat kepada rakyat yang hidupnya sentiasa segar demi mengejar syurga dan keredhaan Allah swt.

Sepanjang kehidupan ini hanya ada satu jalan yang akan membawa kepada kejayaan dan keuntungan. Selain daripada jalan ini hanya membawa kepada kerugian semata. Jalan yang dimaksudkan ialah keimanan, amalan soleh (kerja kebajikan), saling nasihat-menasihati supaya sentiasa berpegang dengan kebenaran dan kesabaran. Sempurna!

KEIMANAN YANG SEBENAR

Keimanan ialah suatu bentuk hubungan yang menghubungkan bangsa manusia yang bersifat tidak kekal, hina, lemah, kerdil dan terbatas kemampuan dengan satu kewujudan yang sememangnya sudah wujud sejak azali dan akan kekal hingga bila-bila.

Keimanan ini membawa kepada umum bahawa kedudukan manusia beriman yang mulia dan tinggi darjatnya. Nilai-nilai keimanan sama sahaja dengan nilai-nilai kemanusian bermaruah. Keimanan menghalang manusia menyembah manusia yang lain dan makhluk yang lain. Manusia hanya menyembah Tuhan yang Maha Esa. Kedudukan manusiaan sama rata dengan manusia yang lain. Inilah yang dinamakan sujud merdeka! Kemerdekaan yang sebenar. 

Segala macam ideology seperti Darwinisme, Freudisme dan Marxisme merupakan bencana paling teruk yang pernah melanda sejarah hidup mereka. Manusia yang berjiwa bersih akan semampu mungkin tidak menghinakan diri dengan menghambakan diri kepada makhluk.

Keimanan mengawal manusia supaya tidak terjerumus dengan indahnya dunia. Kebebasan yang diberikan haruslah berlandaskan syariat Allah swt. Saling bersaing untuk melimpahkan kurnia Allah swt pasti akan mengangkat darjat kedudukan manusia. Ruang ini membawa kepada manusia untuk saling berlumba melakukan kebaikan tanpa memikirkan natijah yang akan dia dapat. 

AMALAN SOLEH KESAN DARIPADA IMAN

Amalan soleh yang kita lakukan merupakan kesan langsung daripada keimanan kita. Semakin tebal dinding iman, semakin banyak amalan yang kita lakukan. Keimanan ini ialah suatu benda yang proaktif yang mana akan sekali keimanan tersemat dalam hati, tindakan soleh akan automatic dilakukan tanpa disuruh apatah lagi dipaksa. 

TANASUH

Amalan saling menasihati dengan kebenaran dan kesabaran ini bukti kepada umat Islam mempunyai keperibadian yang tersendiri dan memiliki ikatan yang kuat antara satu sama lain. Sebuat komuniti yang saling bekerjasama dalam menyelesaikan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Komuniti yang faham ini memimpin masyarakat melalui jalan keimanan dan amalan soleh. 

Kebangkitan membawa kebenaran ini merupakan suatu yang amat sukar. Pelbagai halangan akan timbul ketika mempertahankan kebenaran. Halangan hawa nafsu, kepentingan peribadi, manipulasi kerajaan, kezaliman dan kekejaman manusia. Budaya saling tanasuh ini akan member semangat dan kekuatan untuk terus berjuang demi menegakkan hak dan menjatuhkan yang batil. Saling menasihati agar bersabar dalam menyelesaikan tuntutan sebagai khairah ummah juga akan Berjaya menghasilkan pejuang yang berani tidak mudah patah semangat!

Akhir kalam, pilihan yang kita dilakukan akan mempegaruhi hasil sesebuah kejayaan atau kejatuhan Islam. Untung atau rugi?

SENYUM & SYUKUR BILA ADA YANG SUDI NASIHAT KITA

No comments:

Post a Comment

Keberkatan Dalam Gaji

  Sumber: Photo by micheile henderson on Unsplash Sebenarnya rasa geram dan tak puas hati bila lihat orang gaji yang lebih daripada kita, t...