Monday 3 August 2015

BASIKAL KARAT #3 SUDAH DITERIMA

Assalamu'alaikum semua

Sudah berlalu separa Syawal. Mungkin mood Raya sudah hampir terkubur, namun momentum ibadah yang diasaskan di bulan Ramadhan jangan pernah dikuburkan hidup-hidup pula. Teruskan momentum mengaji al-Quran dan solat sunat. Moga sedikit-sedikit lama jadi taman bunga di syurga kelak. Ameen. 


SYUKUR!

ALHAMDULILLAH.

Aku sangat berterima kasih dan bersyukur kepada Allah yang sentiasa memberi yang terbaik buat hambaNya dalam segenap lapangan kehidupan. Allah memberi nikmat usia dan peluang untuk kita sentiasa perbaiki diri. Allah memberi anugerah yang tidak terhingga sehinggakan kita pun tidak dapat mengenal pasti anugerah-anugerah itu.  Sesungguhnya amat sedikit sekali dalam kalangan hambaNya yang bersyukur. 

Sudah dua minggu lebih selepas tarikh aku menghantar manuskrip Basikal Karatku  ke pihak Karya Bestari, Karangkraf. Namun belum ada apa-apa lagi respon daripada mereka. Kadang-kadang aku pun terfikir betul ke emel yang aku hantar itu? Ataupun ada orang lain yang menyamar sebagai pihak KB. Haish, Ukhti Mawar yang penuh dengan imaginasi menakutkan. Pelbagai elemen negatif bertandang mengusutkan impian.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk menghantar emel ke pihak Karya Bestari untuk bertanyakan status manuskripku itu. Itu barulah dinamakan bersungguh kan? Puas dua minggu aku berangankan bukuku di rak toko-toko buku dan orang-orang membaca bukuku di taman-taman bunga. Hahahaa.. Imaginasi sekali lagi. Mana boleh jadi kalau semua ini hanya penipuan dan hanya tingal angan-angan Mat Jenin. Oh No!

Tiga hari selepas emel dihantar...

Alhamdulillah. Aku mendapat emel balas daripada Puan Rosmawati. Berita yang sangat ingin aku dengar. Syukur. Emel yang bertarikh 27 Julai 2015 itu memberi satu perasaan syukur yang teramat sangat. Malam itu aku khabarkan pada Mama dan bersalaman dengan Mama. Syukur dengan tidak terhingga. Puas aku bercerita perihal manuskripku sampai tersembur-sembur air liur. Satu soalan cepumas daripada Mama setelah cerita tamat. "Manuskrip tu apa?

Erk! 

Malam itu walaupun kami menonton televisyen namun fikiranku sudah melayang ke impian-impian seterusnya. 

"Pihak Karya Bestari bersetuju untuk menerbitkan manuskrip Basikal Karat saudari ke dalam bentuk buku."

Inilah yang aku nantikan hampir dua tahun lamanya. Aku berbangga dengan diri sendiri. Bukan ujub atau riyak tapi rasa bangga pada diri kerna mampu lakukan.  Aku dahulu yang hampir menguburkan karyaku dek rasa rendah diri yang teramat. Rasa buku ini tidak akan ada penerbit mana mahu terbitkan. Rasa idea buku ini tidak ke mana apatah lagi untuk menjualnya. Tajuk buku juga bertukar ganti.  Kini, perasaan negatif itu aku tukarkan kepada impian-impian besar. Buku-buku Oki Setiana Dewi, HM Tuah (penulis feveretku sepanjang zaman) dan laman mukabuku Dr Azizan Osman sangat memberikan pencetus semangat aku untuk terus berjuang dalam bidang ini. 

Selain itu, 

Impianku untuk menubuhkan One stop Centre untuk kanak-kanak memerlukan dana yang besar. Kecintaanku terhadap pendidikan awal kanak-kanak membuatkan aku tolak ketepi harapan untuk menjadi peguam Syarie. Kerjaya yang menjadi idaman ramai orang. Boleh memnghasilkan banyak wang jika rajin bekerja. OSC itu, jika aku fikirkan daripada lubang mana mahu aku cari wang untuk membina impian itu. Itu juga salah satu pemangkin semangatku untuk mengumpul royalti hasil jualan buku kelak. Aku mahu menubuhkan OSC itu tanpa pinjaman. Ini impian aku (doakan berjaya ya!)




Sebagai pendakwah muda, terlalu banyak komitmen kewangan yang perlu dikeluarkan. Duit usrah, duit program, duit infak dan pelbagai lagi. Disebabkan aku hanya berPTPTN untuk pengajian sarjana muda ini, aku amatlah kekeringan. Memang orang kata, kita jangan kedekut dengan dakwah walaupun kita tengah kering. Aku juga yakin dengan pernyataan begitu. Allah akan tambah lagi kalau kita ikhlas memberi. Akupun  berfikir, alangkah baiknya jika aku ada duit yang banyak. Boleh menyumbang lebih banyak untuk dakwah!

Sekali lagi, alhamdulillah. 

Dan hari ini, aku menerima panggilan telefon daripada editor yang bertanggungjawab dengan karyaku. Beliau meminta aku menghantar manuskrip dalam bentuk word supaya mudah untuk diedit. Aku tersenyum lagi. Ini pengalaman pertama aku berurusan dengan syarikat penerbitan. Agak gementar. Pabila ditanya, "Farhana ada soalan ke?". "Herm, takde kot." Klise la kan, tengah nebes bebenor.

Ya! Ini bukan penipuan atau mimpi lagi wahai Ukhti Mawar! Ini realiti. Dan menuntut doa sentiasa dan usaha yang lebih maksimum lagi. Kalian jangan jemu untuk doakan aku sentiasa. Aku bersedia untuk sebarang kemungkinan yang mendatang. Insha Allah. Kerna aku tahu Allah kan ada!

Aku bukanlah manusia terbaik untuk memberi inspirasi kepada kalian. Aku hanya ingin berkongsi kegembiraan ini agar anak cucuku nanti dapat membaca kisah ini tika dia besar nanti. Moga neneknya ini akan diingati sampai bila-bila. Cewah! Tinggi angan-angan hang UM ya! 

Kalian juga teruslah memasang impian kalian. Impian itu akan membuatkan kalian teruja untuk meneruskan kehidupan. Mencipta sejarah dalam kehidupan kita sendiri. Sejarah yang luar biasa hanya untuk insan yang berani mengotakan impiannya!

Jumpa lagi ya! 




No comments:

Post a Comment

Keberkatan Dalam Gaji

  Sumber: Photo by micheile henderson on Unsplash Sebenarnya rasa geram dan tak puas hati bila lihat orang gaji yang lebih daripada kita, t...