Nani
& Nana: Pengenalan Haid
KREDIT BING.COM |
“Kak Nani, Angah cakap akak pandai bab haid. Nak
tanya boleh tak?” Noor memulakan bicara. Noor merupakan adik kedua bongsu
kepada Nana. Kanak-kanak berbulu mata lentik itu baharu berumur 15 tahun dan
akan menduduki PT3 pada tahun ini.
“Tiadalah pandai sangat, Noor. Insya-Allah, kalau
akak tahu akak akan jawab. Kalau akak tak tahu, akak akan sampaikan soalan Noor
pada ustaz akak di kolej.” Senyuman mereka saling berbalas.
Dengan kadar segera, Noor membuka beg sandang
birunya dan mengeluarkan pensil 2B serta buku nota berwarna merah jambu.
Tertulis di hadapan buku itu, ‘Ini Noor punya!”.
Nana tersenyum melihatkan kekalutan adiknya. Ada
riak keterujaan di wajah Noor. “Soalan
Noor mungkin dalam buku nota itu kot.” Nana meneka dalam hati.
Pagi itu Nani singgah sebentar di rumah Nana. Rumah
Nana berada dalam laluan joging Nani. Setiap hari Sabtu pagi, Nani akan
berjoging sekitar kampung mereka, Kampung Paya Dalam. Dia gemar untuk
mengeluarkan peluh. Sihat tubuh badan merupakan salah satu ciri Muslim sejati.
Kalau badan sihat, otak cerdas, manusia akan sentiasa bersemangat untuk bekerja
dan belajar.
“Semua orang akan datang haid ke kak Nani?”
Tergelak kecil Nani dan Nana. Sungguh naïf si comel,
Noor.
“Orang lelaki tidak akan pernah datang haid, Noor.
Hanya orang perempuan sahaja. Datang haid menunjukkan yang seseorang perempuan
itu dah meningkat dewasa. Darah tu keluar bukan sebab kita ada penyakit atau
apa. Tapi sebab Allah memang jadikan orang perempuan dalam dunia ini akan datang
haid.” Nani cuba memberi penjelasan dengan ayat yang mudah. Remaja sekarang
perlu dididik dengan sesuatu yang mudah difahami. Kalau tidak, bagai angin lalu
sahaja.
“Ada ke orang perempuan yang tak datang haid, kak
Nani?” Noor menggaru kening kirinya.
“Ada. Tapi seorang sahaja. Anak perempuan Rasulullah
saw. Siapa anak perempuan Rasulullah saw yang Noor kenal?”
“Hmmm, Saidatina Fatimah?” Noor meneka sambil
jari telunjuk kanan diangkat ke arah langit. Mengharap jawapannya betul.
“Pandai la Noor ni…” Nani menelan air liur lalu
menyambung ayatnya. “Ada alim ulama mengatakan bahawa Saidatina Fatimah tidak
didatangkan haid oleh Allah supaya Saidatina Fatimah sentiasa dapat beribadat
kepada-Nya. Allah sayang dengan Saidatina Fatimah. Tapi ini kejadian yang luar
biasa, Noor. The only one! Adat kebiasaan, orang perempuan mesti datang
haid.”
Nana turut mencatatkan sesuatu dalam telefon
pintarnya. Mungkin ada ilmu baharu yang Nana dapat.
“Ni, dalam kitab, ulama mendefinisikan haid itu
sebagai apa? Nana mencelah perbualan Nani dan Noor.
“Kalau bab definisi ni, mudahnya kita ambil daripada
definisi ulama Syafieyah la ya. Sebab kita pun memang mengamalkan mazhab
Syafie.” Nani membetulkan muncung tudungnya yang ditiup angin. Suasana pagi itu
sungguh mendamaikan. Tambahan pula, bihun goreng dihadapan mereka masih panas
dan beraroma sungguh.
“Dari segi bahasa, haid membawa maksud mengalir.
Darah mengalir kan, Noor?” Noor tergelak kecil. “Takkan darah berjalan pulak,
kak Nani…” Noor sambung tawanya yang bersisa. Nana pun tergelak sama.
“Ada sahaja dua beradik ini,” getus Nani dalam hati
sambil menguntum senyuman.
“Okay. Kalau dari segi istilah syarak pula, haid
ialah darah semula jadi yang keluar daripada pangkal rahim perempuan ketika
badannya dalam keadaan sihat dalam tempoh yang tertentu.”
“Hah, dok gelak-gelak ni, Noor, tahu tak rahim tu
apa?” Nana menyakat adiknya.
“Rahim tu yang tempat baby duduklah. Darah
akan berada di dinding rahim sebelum keluar. Hah, ingat Noor tak tahu ke.” Noor
mencebik mulutnya lalu menumpahkan air coklat ke dalam mulutnya. “Tapi yang
definisi tadi panjang sangat, Noor tak dapat hafal.”
“Takpe Noor. Tak perlu hafal pun. Tak masuk
PT3 pun.” Nani pula mengambil alih menyakat Noor.
“Yang Nana dan Noor perlu ingat ialah darah haid ni
darah yang memang semula jadi, maksudnya bukan darah yang kita paksa untuk
keluar. Darah haid keluar waktu kita sihat, bukan waktu sakit atau selepas
kemalangan teruk ke. Darah haid juga keluar daripada kemaluan orang perempuan,
bukan keluar daripada lubang hidung tau.” Noor tergelak lagi. “Dan haid keluar
dalam tempoh masa yang tertentu.”
“Ohhh…” Dua beradik itu sahut serentak.
“Nana dan Noor tahu tak ada haiwan pun datang haid?”
Soalan Nani membuatkan mulut Noor terlopong sedikit sehingga gigi arnabnya kelihatan.
“Betul-betul ke main-main ni, kak Nani?” Noor
memastikan sekali lagi. Pennya terjatuh ke atas tanah.
“Betullah. Antaranya anjing, arnab, cicak, unta,
kuda, kelawar dan serigala. Comelkan arnab datang haid,” Nani menghabiskan
kata-kata sambil tersenyum membayang rupa arnab yang comel dan gebu.
Nana menaip lagi. “Setiap bulankah haiwan-haiwan itu
datang haid, Ni?”
“Oh, tidak. Tak sama pun haid haiwan dengan manusia.
Tiada tempoh tertentu atau warna seperti kita. Yang sama hanya keluar darah sahaja.”
Nana dan Noor mengangguk lagi.
“Sebenarnya ada sebab Allah keluarkan darah haid
daripada haiwan-haiwan itu. Salah satunya untuk menstabilkan tabiat badan
haiwan tu. Macam manusia kalau tak haid juga, badan yang banyak darah kotor.
Sakit nanti kan.”
“Amboi, rancak berborak!” mak cik Jura tiba-tiba
muncul di muka pintu. “Kalau ia pun, makanlah bihun tu, sejuk nanti tak sedap.”
“Okay! Kelas kita tamat di sini. Kita makan dulu!”
Noor membuka selera dengan ajakan yang sungguh bersemangat.
{bersambung}
Ukhti Mawar (sabarmuberbunga.blogspot.my)
No comments:
Post a Comment