Monday, 25 April 2016

AKU PEMBUNUH BERSIRI

# Assalamu'alaikum pembaca #


Hanya dalam tempoh tiga minggu berturut, dua ekor kucing jagaanku meninggalkan dunia. Orang mesti cakap, "Alah, kucing je pung!"

Bagiku kucing bukan hanya seekor kucing atau binatang. Kalau kita sudah muayasyah (hidup bersama) dengan kucing-kucing itu, akan timbul rasa sayang dan kadang-kadang sayang itu setaraf dengan manusia.

Bukankah kucing itu makhluk Allah SWT seperti kita? Lupakah kita dengan ciptaan Allah ini?

Itam, yang pertama mati dahulu. Aku terlanggar berkemungkinan sewaktu sedang bergegas untuk ke usrah pada malam Selasa dahulu. Tempat letak keretaku di belakang rumah memang gelap dan tidak berlampu. Berkemungkinan besar Itam telah keluar dari rumah dan bermain di rumput laluan untuk kereta berundur.

Setelah dua jam kemudian, tika aku pulang dari usrah, aku nampak ada benda hitam putih atas tanah di tepi pokok pinang. Aku turun dari kereta dan lihat.... Allah!... Itam sudah keras dan isi otaknya terkeluar sedikit. 

Terus aku menjerit memanggil Baba dan aku tak mampu pun untuk sentuh dia. Terlalu sedih. Malam itu juga Baba tanam di kubur berhampiran kucing-kucing kami yang telah 'mendahului'.

Tor, mangsa kedua.

Kematian Tor merupakan kejadian yang aku tak boleh lupakan hingga saat aku menulis entri ini. Kematian yang disebabkan oleh diriku juga. Dan kereta untuk kedua kalinya. (Aku tahu sudah sampai ajalnya) 

Hari Khamis yang lepas, Tor mati kerana keretaku mungkin terlanggar badannya. Sewaktu aku keluar rumah, aku kira kesemua kucing sudah ada di dalam. Aku pun tak pasti bila masa Tor keluar.

Dengar-dengar sahaja ngiauan kucing masa aku undur kereta. Terkejut! Aku bergegas turun dan mencari kalau-kalau ada kucing di bawah kereta. Tiada!

Hampir sekeliling rumah aku cari namun tiada. Aku pun terus bergegas untuk mengambil Mama di Umbai. Takut-takut bas kilangnya sudah sampai. Mengamuk pula nanti.

Masa keretaku berlalu untuk naik ke tar jalan, aku menoleh ke belakang rumah di bahagian kiri, aku nampak Tor dari jauh memandangku. Aku dah tak sedap hati! Tor tengok sahaja aku tanpa gerakan mulut. Ia berdiri kaku memandang aku. Tiada sahutan walaupun aku memanggilnya. 

Dalam 15 minit kemudian, sampai sahaja di rumah. Aku mencari Tor di belakang rumah. Tor menyorok dalam semak menghadapkan badannya ke arah hutan. Sekali aku panggil dan mendekat...

Ya Allah! Luluh jantungku!

Mulut Tor penuh dengan darah. Semut dan lalat sudah datang menghurung. Tor masih hidup terjelepok!

Mama pergi ambil minyak gamat. Tor dah menggelumpur kesakitan. Matanya terbeliak. Rahangnya patang dan lidah terjelir-jelir. Mulut tidak dapat ditutup.

Waktu aku nak angkat Tor, ia mengelak dan tak mahu diangkat. Terlampau sakit aku rasa! Aku angkat dengan perlahan ke batang paip. 

Mama mencurah sedikit minyak gamat di mulutnya. Aku tak dapat berbuat apa-apa melainkan menangis. Rasa sangat bersalah, walaupun aku bukan sengaja. 

Setelah itu, aku memasukkan Tor dalam sangkar. Tor tak dapat berjalan sangat, kakinya patah kot. Habis basah kain alas dengan darah dari mulutnya. Air mataku makin laju. 

"Kalau nak mati, matilah cepat Tor. Tak tahan tengok lagi."

Kesian sangat! Ia mengerang kesakitan. Rahang yang patah dan senget itu masih segar dalam ingatanku. Dalam tempoh 5 minit Tor mengerang kesakitan, ia mati lalu mendiamkan diri.

Aku nampak dengan jelas, bila saat nyawanya ditarik. Tahinya terkeluar dan badannya melompat tinggi lalu senyap. Mati!

Seakan nyawa ditarik dari kaki ke atas. Allahu rabbi! Sakitnya kematian itu. 

Petang itu juga aku menggali lubang kubur dengan air mata. Aku tanam sendiri. 

Maafkan aku Tor dan Itam. Aku tak sengaja. Nanti di akhirat, jangan salahkan aku ya! Bantulah aku bila aku memerlukan bantuan di akhirat kelak. 

No comments:

Post a Comment

Keberkatan Dalam Gaji

  Sumber: Photo by micheile henderson on Unsplash Sebenarnya rasa geram dan tak puas hati bila lihat orang gaji yang lebih daripada kita, t...