Assalamu'alaikum semua
Impianku untuk cuti semester kali ini ialah khatam 10 buah
bahan bacaan. Termasuklah buku fiksyen, non-fiksyen, majalah ataupun e-book. Alhamdulillah.
Selamat 2 bulan ini, aku telah habiskan 5 buah buku setengah. Ada pula setengah
ye? Ya, yang sebuah sedang aku baca ini buku yang sangat istimewa. Tajuknya ialah
Peringatan Buat Hati yang Lalai, karangan ustaz Abdullah Zaik yang terkenal tu.
Hehehe… jazakillah buat sahabatku, Farah Ain yang sudi memberikannya secara percuma. I like barang percuma!
Agak lambat sedikit momentum bacaanku kerana sepanjang Ramadhan yang lalu aku fokuskan untuk membaca kitab suci, surat cinta teragung seantero
alam buana ini. Syukur. Target untuk khatam al-Quran tahun ini berjaya. walaupun khatam di pagi Syawal, namun aku sangat bahagia. Fighting! Kita semua mampu capai target! Jangan lengah dan
malas!
Minggu ini, hari-hariku panas dan hangat dengan isu KABINET!
Bukan kabinet dapur atau rumah ya, tapi kabinet negara. Lebih besar impaknya. ‘Menteri
harapan’ku digugurkan daripada jawatan beliau. Aku tiada mahu untuk memberi sebarang
komen tentang isu ini. Aku bukanlah seorang penganalisa politik mahupun pelajar
sains politik. Nanti silap cakap pula kan.
Agak suatu kebetulan di mana isu kepimpinan sedang panas dan
aku sedang membaca tafsir al-Asr. Saja aku baca bahan fikrah yang satu ini
untuk mereka soalan-soalan buat anak buah tercinta naik semester nanti. Tafsir
rujukan yang aku baca daripada ini ialah Fi Zilal al-Quran karangan penulis bestseller tersohor Syed Qutb yang mengarang kitab hebat ini di dalam penjara. Kau hado! Kontroversi
tentang kitab hebat ini kita ketepikan dahulu.
SURAH AL-ASR
Surah yang sering menjadi manisan bibir semua manusia. Setiap
kali habis sesebuah pertemuan, “Baiklah. Kita tutup majlis kita dengan surah
al-Asr.” Ya. Surah hafalan semua orang. Kanak-kanak juga selepas tamat waktu
persekolahan, “Ok murid-murid. Kita sudahi kelas dengan surah al-Asr.” Semua orang!
Faham isinya? Itu cerita lain pula.
Sukalah aku untuk berkongsi dengan kalian tentang tafsirnya.
Mungkin ada yang tidak berkesempatan untuk membaca tafsir surah ini. Mungkin
ada yang sudah membacanya dan khatam tafsirnya. Diri ini mohon maaf jika ada salah
silap fakta. Mohon diperbetulkan ya.
“Demi masa!”
“Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian.”
“Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh serta saling
berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan kesabaran.”
Biasa dengar kan? Cliché sangat kan. Tersuratkan sikit boleh
penulis? Haip!
Pokok isi surah ini ialah: KEIMANAN dan CIRI-CIRI KEPIMPINAN
DALAM ISLAM.
Semoden mana dan sejauh mana pun kita hidup, hanya satu
sahaja yang akan memberikan keuntungan. Yang lain semuanya hanya kerugian yang
teruk. Apakah perkara itu? JALAN HIDUP YANG DIGARISKAN DALAM SURAH INI. Ya,
hanya sesiapa yang menjalani kehidupan seperti jalan hidup dalam surah ini
sahaja akan beruntung seuntung-untungnya. Tiada jalan hidup yang lain. Tiada!
Itulah jalan hidup dengan cahaya keimanan. Beramal soleh, berpesan dengan kebenaran
dan berpesan dengan kesabaran!
Menyembah Allah dan membebaskan diri daripada perhambaan manusia
adalah poin utama dalam keimanan. Ciri-ciri Rabbaniyah dalam diri menjadi kayu
ukur keimanan seseorang. Sejauh mana seseorang menaruh kepercayaannya dan
memegang syariat sebagai perundangan dalam hidup. Oleh itu dia sentiasa
terhindar daripada berprinsipkan hawa nafsu dan kepentingannya. Dia akan
sentiasa memikirkan segala keputusan yang dia buat bertepatan dengan syariat
ataupun tidak. Ciri-ciri ini akan menaikkan harga dirinya yang mana dia
sentiasa berbangga dengan cara hidup Islamnya dan menolak segala cara hidup
Jahiliyah. Secara automatik dia akan mengutuk segala prinsip yang diasaskan
oleh Darwin, Freud dan atuk Karl Marx tu.
Antara saranan tentang keimanan lagi ialah menjauhi sikap
tamak haloba dalam mengejar kenikmatan dunia!
Kesimpulannya, segala amalan yang tidak berdasarkan keimanan
akan tertolak dan sia-sia sahaja.
Kenapa umat Islam wajib memimpin?
Ada empat sebab utama atau ciri utama yang membawa keyakinan
bahawa umat Islam perlu menjadi pemimpin.
- Umat Muslimin mempunyai kitab dan syariat yang diturunkan oleh Allah swt. Jadinya mereka tidak akan memimpin manusia melainkan selari dengan sumber agung itu.
- Umat Islam tidak akan memegang teraju pemerintahan dan kepimpinan tanpa didikan akhlak dan pembersihan jiwa.
- Umat Islam tidak akan memipin untuk kaumnya sahaja. Senang kata tiada sebab perkauman dalam meneraju kepimpinan. Macam Nabi Muhammad dahulu kan, tidak hanya memimpin bangsa Arab sahaja.
- Manusia itu terdiri daripada jisim dan roh. Ia mempunyai akal, perasaan dan tubuh badan. Tidak akan bahagia melainkan semua unsur bahagia.
Jelaslah kalau kita perhatikan daripada pengalaman hanya
yang seimbang roh dan benda akan berjaya dalam pemerintahannya. Itulah ciri kebahagiaan
yang berada dalam perlembagaan Islam yang asas-asanya ditegakkan oleh surah
a-Asr ini. Keimanan dan saling berpesan
dengan dua perkara ini.Hanya yang beriman dan beramal soleh serta saling berpesan
dengan kebenaran dan kesabaran.
Suka untuk aku tinggalkan buat kalian petikan yang sangat menyentuh sanubari jiwa mudaku ini.
" Kini, seluruh panji dikibarkan untuk syaitan, tiada satu pun untuk Allah. Seluruh panji itu dikibarkan untuk kebatilan, tiada satu pun untuk kebenaran. Seluruh panji itu dikibarkan untuk kegelapan dan kesesatan. Tiada satu pun untuk hidayah dan cahaya dan seluruh panji itu dikibarkan untuk kerugian, tiada satu pun untuk keuntungan. Namun demikian , panji-panji Allah tetap berkibar. Ia hanya menunggu tangan-tangan yang sanggup mengibarkannya dan menunggu umat manusia yang ingin berjalan di bawah pimpinannya menuju kebajikan, hidayah, kebaikan dan keuntungan."
Kitalah pengibar panji tersebut. Make preparation for our big day, insha Allah!
Tinggal dulu ya! Selamat bermuhasabah diri dan masa depan negara kita.
No comments:
Post a Comment